MESKIPUN persembahan vokal penyanyi Aina Abdul menerusi lagu Sumpah pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) menerima pujian namun ada segelintir pihak berasa kurang senang dengan konsep persembahan itu. Persembahan yang berkonsepkan seolah-olah memberi gambaran bunuh diri turut mendapat perhatian Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa) memuat naik kenyataan berkenaan perkara itu di Facebook. ARTIKEL BERKAITAN: Persembahan itu hanya simbolik hancurnya hati wanita! - Aina Abdul ARTIKEL BERKAITAN: MV Aina Abdul beri gambaran buruk kepada pesakit mental, NGO minta henti sebarkan Menerusi kenyataan itu, pihak Miasa berpendapat persembahan tersebut membawa mesej yang salah kepada penonton mengenai luahan kekecewaan sehingga mengambil keputusan untuk melakukan perkara yang dilarang. Persembahan Aina Abdul dikritik Miasa. “Sangat mengejutkan. Apakah sudah tiada idea kreatif lain sehingga mendesak untuk melakukan persembahan yang berkonsepkan bunuh diri di pentas AJL tahun ini? “Stesen TV dan produksi sepatutnya sudah sedia maklum dengan larangan adegan sedemikian di media. “Dalam persembahan tersebut, penyanyi itu berpakaian serba putih telah menikam dadanya sehingga darah keluar membasahi pakaiannya. Skrin latar mempamerkan darah pekat yang mengalir. “Ternyata persembahan seperti ini memberi mesej yang salah kepada penonton mengenai kekesalan kekecewaan dalam percintaan sehingga perlu menamatkan riwayat dengan menikam dada,” tulisnya. Pada persembahan yang berlangsung dj Axianta Arena, Bukit Jalil pada malam, Ahad Aina yang berpakaian serba putih menikam dadanya sehingga darah mencurah keluar mengundang pelbagai reaksi netizen. Ternyata persembahan seperti ini memberi mesej yang salah kepada penonton. MIASA Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental Rata-rata netizen mempersoalkan konsep yang dipilih penyanyi itu dan menyamakan dengan persembahan penyanyi Lady Gaga menerusi lagu Paparazzi di Anugerah MTV VMA pada 2009. Dalam pada itu, pihak Miasa turut menegaskan persembahan tersebut telah melanggar garis panduan berkenaan bunuh diri atau sebarang bentuk adegan tersebut di televisyen. “Persembahan seperti ini jelas telah melanggar Guidelines For Media Reporting on Suicide yang melarang sebarang bentuk adegan membunuh diri dengan menunjukkan cara dan kaedah untuk menamatkan riwayat. “Bagi individu yang memiliki masalah mental, adegan seperti ini boleh menyebabkan ia boleh mengganggu pemikiran dan mungkin mendorong mereka untuk menamatkan riwayat. “Bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang kami ingin memohon masyarakat untuk membantu untuk membuat laporan kepada Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF),” ujarnya. Sebelum ini, Miasa pernah mengecam muzik video Sumpah nyanyian Aina Abdul yang memberi gambaran buruk terhadap penghidap masalah mental iaitu skizofrenia.