suria

Intan Najuwa sahkan putus tunang kerana tiada persefahaman - “Jangan kaitkan dia lagi dengan kontroversi saya”

Intan mengesahkan hubungan pertunangannya dengan Razrul sudah berakhir.

TEKA-TEKI mengenai status hubungan Intan Najuwa dan ahli perniagaan Razrul Anwar Rusli akhirnya terjawab apabila aktres itu mengakui ikatan pertunangan mereka sudah berakhir.

Menurut Intan atau Intan Najuwa Abdul Wahid, 23, dia menganggap tiada jodoh antara mereka dan keputusan itu dibuat selepas perbincangan dilakukan kedua-dua belah pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: “Siapalah yang bawa cerita...” - Tunang Intan Najuwa ulas dakwaan sudah putus kerana beza umur dan bidang

ARTIKEL BERKAITAN: Jarak usia 16 tahun, Intan Najuwa bertunang dengan usahawan dari Kedah - “Saya tak pernah berkawan lelaki berusia tapi selepas kenal dia...”

Intan juga memberitahu tujuan dia berkongsi perkara itu kerana tidak mahu lagi bekas tunangnya terpalit dengan kontroversi dalam industri seni.

Intan dan Razrul bertunang pada 18 Ogos lalu.

"Hubungan saya dan dia (Razrul) sudah berakhir dan keputusan dibuat selepas kami berbincang dengan cara baik. Antara kami sudah tiada jodoh dan persefahaman.

"Bila berpisah itu, biarlah kami sahaja yang tahu. Saya berkongsi perkara ini pun sebab tak nak lagi dia terkait dengan saya memandangkan dia pun bukan dari bidang ini.

"Saya tak nak dia terlibat kalau ada apa-apa terjadi atau kontroversi berkaitan dengan diri saya. Biarlah dia jalani hidup tanpa ada gangguan," kata Intan kepada mStar.

Kami hanya mampu perancangan tapi tuhan yang menentukan.

INTAN NAJUWA

PELAKON

Sebelum ini, mStar ada menerima kiriman email yang mendakwa Intan telah menyekat akaun Instagram dan memadam foto mereka.

Malah, perbezaan usia 16 tahun dan berlainan bidang berkemungkinan menjadi punca hubungan mereka bermasalah.

Bagaimanapun menerusi laporan mStar pada 15 Januari lalu, Razrul tampil menafikan dakwaan mengenai hubungan pertunangannya dengan Intran sudah berakhir.

Dalam pada itu, pelakon yang popular menerusi drama Kekasih Paksa Rela ini berharap semua pihak memahami dan tidak menjatuhkan hukum dengan apa yang terjadi.

Sebelum ini, hubungan mereka didakwa sudah berakhir disebabkan perbezaan usia.

"Saya nak bersihkan nama saya dan dia selain nak jelaskan situasi hubungan kami sebelum ini. Saya harap semua orang faham dan tak judge dengan apa yang terjadi.

"Apa yang berlaku, di luar kuasa saya. Kami hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan. Jodoh, ajal dan maut itu ditanganNya," ujarnya.

Sebelum ini, bekas tunangnya turut terpalit dengan kontroversi foto mesra Intan dengan hero gandingannya iaitu Idris Khan dan Zul Ariffin.

Intan dan Razrul mengikat tali pertunangan pada 18 Ogos tahun lalu di Hotel Thistle, Johor Bahru sempena ulang tahun kelahiran aktres itu yang ke-22.