suria

Lagu 'Akhir Zaman' dikritik terlalu kasar tegur LGBT, ini penjelasan Bunkface - “Yang haram itu tetap haram!”

Bunkface sampaikan mesej baik dalam lagu Akhir Zaman.

KUMPULAN Bunkface menolak dakwaan kononnya mereka mempromosikan kebencian terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dalam lagu terbaharu nyanyian mereka berjudul Akhir Zaman.

Menerusi kenyataan di laman Instagram, Bunkface berkata lirik tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana individu sebaliknya sekadar teguran kepada gerakan komuniti itu yang semakin meluas di negara ini.

"Kami menerima segala kritikan positif mahupun negatif... Alhamdulillah berdasarkan komen-komen yang kami terima, majoriti rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada mesej yang cuba kami sampaikan. Di sini kami ingin memberi sedikit penjelasan mengenai isu lirik yang dikatakan oleh sesetengah pihak sebagai mempromosikan kebencian terhadap golongan LGBT.

ARTIKEL BERKAITAN: Perselisihan faham rahsia 13 tahun Bunkface kekal sebagai sebuah band

"Perkataan LGBT yang digunakan di dalam lirik lagu ini bukanlah ditujukan kepada mana-mana individu, tetapi ianya ditujukan kepada pergerakan komuniti LGBT yang semakin meluas di seluruh dunia terutamanya kepada mereka yang beragama Islam di negara kita ini.

"Yang kami tentang adalah pergerakan LGBT yang sedang cuba mempromosikan hak mereka secara terang-terangan di Malaysia serta ditujukan khusus kepada mereka yang beragama Islam terutamanya mereka yang berbangsa Melayu," katanya.

Kenyataan yang dimuat naik Bunkface di Instagram.

Pada penghujung Februari lalu, Bunkface menerima kecaman netizen gara-gara lirik dalam lagu terbaharu mereka berjudul Akhir Zaman dikatakan menyentuh sensitiviti masyarakat.

Selain lirik 'mana pergi semua duit rakyat', lirik berbunyi 'LGBT pergi mampus' juga mendapat reaksi negatif netizen.

Ada yang berpandangan bahawa tindakan Bunkface menyelitkan lirik tersebut dilihat keterlaluan dan cubaan untuk meraih perhatian.

Sementara itu, Bunface menegaskan lagu tersebut ditujukan kepada umat Islam dan tidak sepatutnya mereka mempersoalkan mengenai hukum serta larangan yang telah ditetapkan dalam agama.

Bunkface sedang mempromosikan lagu baharu Akhir Zaman.

"Sebaris ayat yang diadaptasi dari kitab suci Al-Quran 'engkau agamamu, aku agamaku' Surah Al-Kafirun ayat 6, menjelaskan lagi bahawasanya mesej lagu ini ditujukan kepada mereka yang beragama Islam sahaja.

"Tambahan lagi, lirik lagu ini juga dihasilkan dalam bahasa Melayu kerana majoriti Muslim di Malaysia terdiri dari bangsa Melayu dan supaya ianya lebih jelas, nyata dan terang untuk mereka fahami.

"Yang haram itu tetap haram dan definisi Islam itu sendiri bermaksud menyerah atau tunduk patuh kepada ajaranNya. Jadi, siapalah kita untuk mempersoalkan hukum hakam yang telah ditetapkanNya. Semoga kita semua dilindungi dan diberkati  oleh Allah sentiasa," ujarnya.

Lagu Akhir Zaman telah dilancarkan di laman Youtube sejak 27 Februari lalu dan menerima lebih 700,000 tontonan dan hampir 9,000 komen.

Bunkface, Akhir Zaman

Artikel Lain