SELEPAS berhenti mengikuti Instagram masing-masing, pelakon Mimi Lana akhirnya mengesahkan hubungan percintaan dengan aktor Syafiq Kyle sudah pun berakhir sejak sebulan lalu. Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 25, menerusi laman Instagramnya memberitahu, dia reda dan menyerahkan perkara itu kepada takdir Allah. ARTIKEL BERKAITAN: Peminat teruja foto mesra Mimi Lana dengan Syafiq Kyle "Ya Allah, berikan aku teman yang mempunyai hati kepada Mu. "Tapi jika ditakdirkan tiada sesiapa yang aku temukan, aku hanya berserah kepada Mu," ujarnya. Syafiq dan Mimi Lana putus sejak sebulan lalu. Hubungan pasangan ini disedari berdepan masalah selepas kedua-dua mereka berhenti mengikuti akaun Instagram masing-masing sejak April lalu. Dalam pada itu menerusi laporan BH Online, tiada lagi persefahaman menjadi punca hubungan itu tidak dapat diselamatkan. Bagaimanapun, Mimi berkata, perpisahan itu bukan disebabkan populariti atau gangguan orang ketiga. "Apa yang boleh saya katakan antara kami sudah tiada persefahaman. Ini tiada kaitan dengan soal populariti atau gangguan orang ketiga. "Hubungan kami masih baik dan tidak pernah bermasam muka... anggap sahaja kami tiada jodoh," katanya. Dalam pada itu, pelakon Cari Aku Di Syurga ini mengakui sedih apabila terpaksa memutuskan hubungan yang dibina selama lima tahun itu. "Bohonglah kalau nak kata saya tak sedih dengan perpisahan ini. Lima tahun menjalinkan hubungan, banyak kenangan yang pernah kami cipta bersama. "Hendak buat macam mana, kenalah reda dengan apa yang berlaku. Hidup harus diteruskan. "Fokus saya sekarang ini adalah untuk terus memajukan diri dalam bidang lakonan. "Soal cinta, saya ketepikan dulu. Bila hidup solo, senanglah untuk saya merancang kerjaya seni saya," katanya. Walaupun bukan lagi pasangan kekasih, Mimi tidak menolak jika digandingkan dengan Syafiq dalam drama atau filem pada masa akan datang.