suria

Amyza Aznan tuntut peguam Zarina Anjoulie bayar ganti rugi RM5 juta, buat permohonan maaf

PELAKON Amyza Aznan menuntut permohonan maaf dan ganti rugi bernilai RM5 juta terhadap peguam kepada Zarina Anjoulie iaitu Nurul Hafidzah Hassan kerana mengeluarkan kenyataan media berunsur fitnah.

Amyza menerusi peguamnya Mohammed Nasser Yusof mendakwa, tindakan Hafidzah mengeluarkan kenyataan dan ia di siarkan dalam sebuah artikel dan diulang siar di laman sosial Instagramnya pada 16 April lalu jelas merosakkan reputasi Amyza sebagai anak seni.

ARTIKEL BERKAITAN: Mana Amyza Aznan? Mahkamah tetapkan 10 Julai tarikh baharu pendengaran permohonan Zarina Anjoulie

ARTIKEL BERKAITAN: Zarina Anjoulie tak duduk diam! Tuntut Amyza Aznan dan Emelda Rosemila bayar ganti rugi RM4 juta, mohon maaf terbuka

"Minggu lalu Amyza ada mempelawa peguamcara Zarina dari Tetuan Hafidzah & Associates untuk menyerahkan semua kertas klausa iaitu writ saman, kenyataan tuntutan, notis permohonan penghakiman ingkar sekiranya ada bagi membolehkan Amyza membuat tindakan selanjutnya.

"Jadi pada hari ini, saya hadir ke pejabat peguamcara plaintif iaitu Zarina Anjoulie untuk mengambil dokumen yang sepatutnya dihantar kepada anak guam saya bagi memudahkan pihak defendan memasukkan kehadiran di dalam mahkamah atau kerja-kerja yang patut bagi menjawab segala dakwaan tuntutan plaintif," kata Mohammed Nasser.

Mohammed Nasser bersama peguam Mohamad Fauzi Abd Samad serta Amyza hadir di pejabat Messrs Nurul Hafidzah & Associates di Shah Alam bagi menghantar notis berkenaan pada pagi Rabu.

Bagaimanapun, Hafidzah tidak berada di pejabat dan notis tersebut diserahkan kepada salah seorang kakitangan syarikat berkenaan.



Hafidzah (kiri) dan Zarina Anjoulie.

Pihak Hafidzah diminta melakukan permohonan maaf atas tindakannya serta perlu membuat bayaran ganti rugi seperti dituntut dalam tempoh tujuh hari.

"Permohonan maaf itu perlu dilakukan di media sosial, penerbitan media serta sidang akhbar dan setelah itu barulah budi bicara akan dilakukan (untuk mentafsir) terhadap tuntutan ganti rugi itu.

“Sekiranya ia tidak dilakukan dalam tempoh tujuh hari, maka kita akan memfailkan saman di mahkamah," kata Mohammed Nasser.

Dalam pada itu, Amyza yang ditemui mStar memberitahu kenyataan Hafidzah berbunyi: "Tindakan Amyza dan Emelda sebagai pembunuhan karakter terhadap Zarina yang berniat jahat" merupakan satu penghinaan buat dirinya.



Amyza (baju biru) bersama peguamnya membuat sidang media di Shah Alam.

“Tuntutan ini dibuat bagi membersihkan nama. Selama ini semua sedia maklum saya mempunyai rekod bersih dalam industri seni hiburan.

“Kenyataan yang dilemparkan Hafidzah benar-benar menjejaskan reputasi saya dalam bidang seni. Apa yang dikatakan peguam itu adalah satu penghinaan dan fitnah.

"Apa yang saya lakukan ini adalah usaha saya untuk terus bertahan dalam industri seni hampir lebih dua dekad, ” katanya.

Dalam pada itu, berkaitan tidak menjawab tuntutan saman Zarina, Nasser berkata, notis dan dokumen berkaitan perkara telah dihantar pada alamat yang tidak tepat.

“Kami berharap segala dokumen dapat diserahkan kepada kami secepat mungkin untuk memasukkan memorandum kehadiran dan pembelaan.

“Sebelum ini, serahan yang dibuat Hafidzah sudah dihantar pada alamat yang bukan diduduki anak guam saya bermastautin dan beliau tidak bermastautin di situ.

“Bagaimanapun ketika kami ke pejabat Hafidzah bagi meminta dokumen, kakitangannya memaklumkan segala dokumen sudah diserahkan ke alamat akhir Amyza, ” katanya.

Sebelum ini, pelakon dan model Zarina Anjoulie melalui peguamnya telah menghantar dua surat tuntutan berasingan terhadap Emelda dan Amyza yang menuntut permohonan maaf dan pampasan sebanyak RM4 juta, iaitu tuntutan RM3 juta daripada Amyza dan RM1 juta daripada Emelda Rosmila.

Pada Khamis lalu, permohonan Zarina supaya Mahkamah Kuala Lumpur memasukkan penghakiman terhadap Amyza Aznan yang gagal menjawab saman fitnah bagi menuntut ganti rugi RM3 Juta akan didengar pada 3 Julai depan.

Artikel Lain