suria

“Saya panggil wartawan, peguam tak tahu apa-apa” - Amyza Aznan jawab isu bawa media serbu firma guaman kes saman Zarina Anjoulie

Amyza memberitahu peguamnya tidak mengetahui mengenai kehadiran media.

RENTETAN daripada isu pelanggaran etika guaman, pelakon Amyza Aznan tampil menjelaskan tindakan dia hadir secara mengejut ke pejabat firma guaman Tetuan Nurul Hafidzah and Associates, Advocates and Solicitors pada Rabu tiada kena mengena dengan peguamnya.

Jelas Amyza lagi, dia juga yang bertanggungjawab berurusan dengan pihak media bagi membuat liputan proses pengambilan dokumen serta penyerahan surat tuntutan terhadap peguam pelakon Zarina Anjoulie iaitu Nurul Hafidzah Hassan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedatangan mengejut Amyza Aznan bawa media ke firma guaman langgar etika

Tambah Amyza lagi, dia melantik Mohammed Nasser Yusof serta Mohamad Fauzi Abd Samad sebagai peguam yang mewakilinya pada Selasa malam dan mereka langsung tidak mengetahui mengenai kehadiran pihak media pada hari kejadian tersebut.

Kedatangan Amyza dan peguam bawa media menyalahi etika guaman.

"Saya yang panggil wartawan dan buat kenyataan rasmi, tidak ada kena mengena dengan peguam. Saya berurusan dan beritahu wartawan yang saya nak ambil dokumen serta serah surat tuntutan.

"Saya hanya minta peguam iring untuk minta dokumen dan serah dokumen. Saya lantik peguam untuk dapatkan dokumen daripada peguam plaintif. Saya melantik peguam pun saat-saat akhir.

"Maka peguam saya pun tak tahu apa-apa urusan saya dengan wartawan. Apa yang saya katakan ini adalah menjawab dakwaan peguam plaintif Nurul Hafidzah," kata Amyza kepada mStar.

Menerusi laporan mStar pada Rabu, tindakan Amyza dan peguamnya hadir secara mengejut ke pejabat firma guaman tersebut bersama beberapa media menyalahi etika guaman.

Nurul Hafidzah Hassan (kanan) yang merupakan peguam kepada Zarina.

Menurut kenyataan media kepada mStar, peguam yang dilantik Amyza perlu secara rasmi berhubung dengan pihak peguam Zarina Anjoulie dan memaklumkan mengenai perwakilan untuk dimaklumkan kepada mahkamah.

Tetuan Nurul Hafidzah and Associates memaklumkan akan menulis surat kepada mahkamah mengenai tindakan yang dilakukan oleh Amyza dan peguamnya itu.

Sebelum ini, Amyza bersama peguamnya Mohammed Nasser Yusof dan Mohamad Fauzi Abd Samad hadir di pejabat Nurul Hafidzah & Associates di Shah Alam, Selangor bagi menghantar notis tuntutan.

Pelakon itu menuntut permohonan maaf dan ganti rugi bernilai RM5 juta terhadap Nurul Hafidzah selaku peguam kepada Zarina iaitu Hassan kerana mengeluarkan kenyataan media yang didakwa berunsur fitnah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain