PELAKON Mas Khan bakal berdepan hukuman penjara 26 bulan jika gagal membayar denda RM17,000 selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan mencuri wallet mata wang kripto bernilai RM213,805 milik penerbit filem Datuk A.Aida. Menurut laporan Bernama, Majistret Farah Nasihah Annuar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mas Khan, 26, atau nama sebenarnya Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan semasa sebutan kali ketiga kes tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: “Isu atau masalah antara kami tidak perlu campur dengan kerja” - Krisis dengan A. Aida, Mas Khan tetap promosi filem 'Ratu Kala Jengking' Pelakon filem Abang Long Fadil 2 itu juga didenda RM7,000 atau penjara 12 bulan atas pertuduhan pertama manakala untuk kesalahan kedua dia perlu membayar denda RM10,000 atau penjara 14 bulan. Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mencuri wallet yang merupakan mata wang kripto milik A. Aida, 50, tanpa izin bernilai RM59,804.15 dan RM154,000.85 di Taman Ukay Perdana, Ampang, Kuala Lumpur, pada 5 pagi 7 Mac tahun lalu. Mas Khan didenda RM7,000 atas pertuduhan pertama manakala RM10,000 untuk kesalahan kedua. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. Terdahulu, Mas Khan yang diwakili peguam Surya Putra Mohamad Taufan memohon denda minimum atas alasan anak guamnya penanggung utama keluarga selain telah memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa sejak awal siasatan. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira keseriusan kes yang dilakukan dan jumlah kerugian dialami mangsa adalah tinggi iaitu lebih RM200,000. Menerusi laporan mStar 28 Ogos tahun lalu, A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 50, mahu individu yang terlibat dalam kes penipuan wang pelabuhannya bernilai lebih Rm200,000 menerima hukuman setimpal. Mas Khan juga dilarang dan tidak akan mendapat peluang lagi untuk berlakon dalam filem atau drama terbitannya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!