suria

Filem Ada Apa Dengan Dosa dijual dengan harga serendah RM1, penerbit nak saman laman e-dagang

Ayu mahu saman laman e-dagang yang menjual filemnya tanpa kebenaran.

PENERBIT Datuk Normashayu Puteh atau Ayu Puteh berang apabila filem terbitannya Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dijual dengan harga murah di sebuah laman e-dagang.

Ayu, 42, berkata, dia sudah mengumpulkan semua bukti dan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap laman e-dagang tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Berhabis duit hasilkan filem, penerbit berang ‘Ada Apa Dengan Dosa’ disebar secara haram - “Saya tidak halalkan...!”

Ibu kepada pelakon Wanna Ali ini juga sudah membuat aduan berhubung perkara itu kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).



Filem AADD turut dibintangi Wanna Ali, PU Riz dan Ashraf Muslim.

"Saya sudah membuat laporan polis dan nak saman Shopee RM50 juta! Saya juga sudah membuat laporan kepada pihak Finas dan nak tunggu apa tindakan mereka selepas ini.

"Shopee sudah menyediakan platform untuk pihak lain menjual filem terbitan saya dengan serendah RM1. Siapa yang memberi dia kebenaran untuk menjual?

"Tindakan mereka menjual dengan harga yang sangat rendah memalukan saya sebagai penerbit. Saya ada semua bukti untuk dibawa ke mahkamah!

"Macam mana saya nak bersabar sebab mereka terang-terang berani jual bahan cetak rompak!" kata Ayu ketika dihubungi mStar.

Tindakan mereka menjual dengan harga yang sangat rendah memalukan saya sebagai penerbit.

AYU PUTEH

PENERBIT FILEM

Sebelum ini, Ayu pernah mendedahkan filem AADD menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab menyebarkannya di beberapa platform laman sosial serta aplikasi secara haram.

Menerusi laporan Astro Awani, Finas sudah sedia maklum mengenai isu ini dan sedang membuat siasatan berhubung kegiatan penjualan filem-filem tempatan yang dicetak rompak di platform e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Nadzri menjelaskan pihaknya akan memberi tumpuan kepada pihak e-dagang dan juga mereka yang menjual filem-filem cetak rompak di platform terbabit.

Dia turut melahirkan kekecewaan dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit yang menjual filem-filem cetak rompak secara digital.

Dalam pada itu Shopee juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan dan memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa.



Antara babak dalam filem AADD.

Tegas Pengarah Urusan Wilayah Shopee, Ian Ho dalam satu kenyataan, produk yang didapati menyalahi undang-undang serta melanggar polisi syarikat akan dibuang dalam senarai jualan mereka.

Tambahnya, penjual yang didapati melanggar polisi Shopee akan diharam menggunakan platform e-dagang terbabit.

Mengulas mengenai penjualan filem cetak rompak Ada Apa Dengan Dosa dan Keluarga Iskandar The Movie, Shopee memaklumkan pihaknya sudah memadamkan pautan berkenaan.

Langkah menyenarai hitamkan kata kunci berkaitan filem berkenaan turut diambil bagi menghalang sebarang usaha jual beli diteruskan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain