suria

Serina dapat hak jaga anak perempuan - “Banyak air mata yang mengalir, moga Allah pelihara Tristan Tareef dengan iman”

Serina reda dan terima keputusan mahkamah mengenai hak penjagaan anak dengan hati terbuka.

PELAKON Serina Redzuawan melahirkan rasa syukur apabila hak penjagaan terhadap salah seorang anaknya berpihak kepadanya.

Bagaimanapun, Serina, 37, mengakui sedih apabila terpaksa berpisah dengan anak lelaki, Tristan Tareef, 10, apabila bekas suaminya diberi hak penjagaan.

Sementara itu anak perempuannya, Isabella Saffiya, 9, akan dijaga oleh Serina.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan Jadi Batu Api”- Serina Redzuawan

“Syukur Alhamdulillah selesai sudah kes penjagaan anak-anak. Tiga tahun kes berjalan dan banyak air mata yang mengalir serta penyiksaan yang saya tanggung.

“Hari ini mahkamah dan putuskan anak perempuan dengan saya dan Tristen tinggal dengan daddy dia. Memang sedih terkilan dengan keputusan ini.



Perkongsian Serina di Instagram mengenai hak penjagaan anak.

“Apa pun kita kena berprasangka baik dengan aturan Allah. Moga Allah pelihara Tristan Tareef dengan iman yang kuat dan pegang kukuh pada agama Islam. Tak guna bergaduh rebut anak. Ini amanah yang perlu dijaga bersama. Hentikan dendam semua” ujarnya.

Terdahulu pada pagi Rabu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor membuat keputusan mengenai hak penjagaan anak pelakon itu bersama bekas suami, Gavin Edward O’luanaigh, 43 atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.

Dalam prosiding itu, Serina hadir diwakili Peguam Syarie Datuk Seri Amli Embong manakala Gavin diwakili Peguam Syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Syukur Alhamdulillah selesai sudah kes penjagaan anak-anak. Tiga tahun kes berjalan dan banyak air mata yang mengalir serta penyiksaan yang saya tanggung.

SERINA REDZUAWAN

PELAKON

Sebelum ini, Serina memfailkan permohonan untuk mengubah perintah hak jagaan kekal pada 26 Februari 2018 lalu atas alasan antaranya Gavin yang dinamakan sebagai pihak responden tidak mengamalkan hidup secara Islam.

Pada masa sama, Serina juga khuatir anak-anaknya akan dibawa keluar dari Malaysia memandangkan keluarga bekas suaminya itu berada di London.

Pada Julai 2018, mahkamah sama menolak permohonan Serina untuk mendapatkan hak jagaan sementara dua anaknya itu kerana telah ada hak penjagaan kekal yang dipersetujui bersama sebelum ini.

Mahkamah dalam keputusannya selain itu turut menegah Serina dan Gavin daripada membawa anak-anak mereka ke luar negara walaupun Serina memohon mahkamah tidak membenarkan bekas suami sahaja membawa anak ke luar negara.



Serina bersama dua anaknya, Isabella (kiri) dan Tristan (kanan).

Perintah itu terpakai sehingga kes induk permohonan Serina untuk mengubah perintah berkenaan.

Pada 27 Julai 2017, Serina telah memberikan hak penjagaan kekal dua anaknya itu kepada bekas suaminya itu melalui penghakiman persetujuan berdasarkan beberapa syarat dan terma lawatan yang telah dipersetujui bersama.

Serina dan Gavin berkahwin pada 1 Januari 2010 namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan Tristan Tareef, 10 dan Isabella Saffiya, 9.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain