suria

Komen sinis gores hati ibu Sandra Dianne - “Anak saya yang awak cakap mati katak itu meninggal dalam keadaan menangis, tenang seperti sedang tidur!”

Ibu kecewa komen ditulis netizen di laman sosial.

IBU kepada Allahyarham Sandra Dianne iaitu Nur Syakinah Abdullah kesal dan kecewa dengan komen-komen sinis yang ditulis segelintir netizen terhadap kematian anaknya di laman sosial.

Menurut Syakinah, komen negatif terhadap arwah meninggalkan kesan mendalam terhadap keluarga, lebih-lebih lagi selepas mereka baru kehilangan orang tersayang.

"Terima kasih kerana anda sudi komen walaupun komen anda tak sepatutnya ditulis sebegitu. Saya tak mahu bercerita tentang ini tetapi memandangkan komen anda sinis dan memedihkan hati, sebagai seorang ibu yang kehilangan anak dalam kemalangan yang tragis ingin saya beritahu ya, anak saya yang awak cakap mati katak tu meninggal dalam keadaan menangis dan hidungnya berpeluh.

ARTIKEL BERKAITAN: Masih koma dan kritikal, ibu rayu pulangkan telefon bimbit Sandra Dianne - “Saat ini dia perlukan doa tulus ikhlas daripada peminat”

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Sandra meninggal dunia selepas 6 hari bertarung nyawa di ICU

"Wajahnya bersih, tenang seperti orang sedang tidur. Keluarga kami sedang berkabung, berhati-hatilah dengan komen-komen anda.

"Saya yakin Allah tempatkan anak saya dalam kalangan orang-orang yang diredai... InsyaAllah!," katanya menerusi laman Facebook pada Sabtu.



Syakinah tulis luahan hati di Facebook miliknya dan berkongsi foto Sandra ketika masih bayi.

Bersama kapsyen tersebut dia turut berkongsi paparan skrin komen sinis yang ditulis seorang netizen mempersendakan pemergian penyanyi lagu Hey Kau itu.

Individu berkenaan dipercayai menggunakan akaun palsu dengan nama Fatin Syahirah itu menulis pelbagai kata-kata hinaan terhadap penyanyi itu sehingga menimbulkan perbalahan dalam kalangan netizen.

Dalam pada itu, Syakinah berkata kehilangan anak sulungnya itu merupakan dugaan besar buat keluarga dan tidak menyangka Sandra pergi buat selama-selamanya.

11 September 2020 pukul 1.00 pagi kakak pergi tinggalkan mama. Lima hari menjelang hari lahir kakak, bayangkan kesedihan mama melalui semua ini tanpa kakak di sisi.

NUR SYAKINAH ABDULLAH

IBU SANDRA

Lebih menyayat hati apabila peserta program Big Stage 2020 itu bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-26 pada Rabu depan.

"Berat sungguh dugaan yang mama kena hadap hari ni kakak. Mama tak sangka mama akan bawa kakak balik dalam keadaan kaku. Mama harap keajaiban berlaku dan harap awak bertahan... tak buka mata pun tak apa asalkan kakak terus bertahan hidup.

"Bengkak dah mata mama menangis, sesak dada dan sakit yang amat menahan pedih tetap tak mengubah takdir yg anak mama dah pergi meninggalkan mama selamanya... seorang anak yang baik, sejak kecil tak pernah menyusahkan.



Sandra terbabit kemalangan dan meninggal dunia pada Jumaat.

"11 September 2020 pukul 1.00 pagi kakak pergi tinggalkan mama. Lima hari menjelang hari lahir kakak, bayangkan kesedihan mama melalui semua ini tanpa kakak di sisi.

"Banyak yang ingin mama coretkan tentang kakak, namun jiwa mama masih diselubungi rasa duka yang mendalam, rindu pada suara kakak memanggil... dan yang paling dirindui selepas ini adalah suara kakak menyanyi di setiap penjuru rumah. Mama rindu!

"Tenanglah kakak sana ya, mama akan selalu doakan kakak, buat pahala untuk kakak. InsyaAllah mama yakin Allah reda pada anak mama, Allah panggil pulang pada hari Jumaat yang indah penuh barakah dengan cuaca yang nyaman dengan sedikit hujan," ujarnya.

Sandra atau nama sebenar Alessandra Dianne Ampuria meninggal dunia pada pagi Jumaat selepas enam hari bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Putrajaya.

Pada 5 September lalu, Allahyarham Sandra terbabit dalam kemalangan Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Subang Jaya, ketika dalam perjalanan mengikuti latihan konsert minggu keempat Big Stage 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan, Sabah pada petang Jumaat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain