RENTETAN dakwaan kononnya Da'i Syed terbabit dengan perbuatan merogol gadis, bapa kepada pendakwah muda berkenaan iaitu Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail tampil bersuara bagi menjelaskan kekusutan itu. Mengakui sudah lama mendengar berita tidak manis membabitkan anaknya itu, Syed Mohammad Shaiful menasihati agar pihak yang mendakwa menjadi mangsa segera melaporkan kepada pihak berkuasa. ARTIKEL BERKAITAN: Da’i Syed buat laporan polis dituduh rogol gadis - “Ini fitnah paling buruk sejak jadi pendakwah!” Ujar Syed Mohammad Shaiful lagi, dia tidak sesekali akan melindungi atau menyebelahi anaknya itu jika dibuktikan bersalah. "Bagi mereka yang pernah menghubungi untuk mengadu kepada saya (yang mengaku menjadi mangsa), pergilah lapor kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan diambil tindakan sewajarnya. "Saya memberi jaminan, saya tidak akan sama sekali mempertahankan atau menyebelahi anak saya sekiranya dia memang melakukan kesalahan tersebut," ujarnya. Status yang dimuat naik bapa Da'i Syed di Facebook. Syed Mohammad Shaiful yang dipercayai menetap di Cairo, Mesir itu meluahkan perkara terbabit menerusi posting di Facebook miliknya. Pada Selasa, Da'i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, 25, tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dia terbabit dalam kes rogol seperti yang ditularkan di Twitter. Laporan itu dibuat di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor sekitar pukul 5.45 petang Selasa. Mengulas lanjut mengenai dakwaan terhadap anaknya itu, Syed Mohammad Shaiful berkata sebagai bapa dia sudah melaksanakan tanggungjawab dengan memberi didikan sewajarnya. Jika benar kamu berakhlak buruk seperti yang didakwa, janganlah kamu menggunakan agama sebagai topeng. SYED MOHAMMAD SHAIFUL SYED JAMALULLAIL BAPA DA'I SYED "Segala didikan yang saya beri kepadanya sejak kecil adalah menurut agama dan tindakan untuk menegur serta nasihat kepadanya telah pun saya usahakan sebaiknya. "Namun tiada upaya lagi apabila semua mesej itu diabaikan, sudah dua tahun tanpa reply sepatah pun. Saya serahkan urusan menegur ini kepada Allah untuk mengadilikannya. "Sekiranya benar dakwaan yang diviralkan, mohon Allah mengembalikan anak saya ke jalan yang benar dan diredai sebelum terlambat. "Saya lebih rela dia diadili di dunia daripada dihadap di akhirat di hadapan Qadhi Rabbul Jalil," luahnya. Da'i Syed buat laporan polis terhadap individu yang didakwa memfitnahnya. Sementara itu, menerusi perkongsian itu juga, Syed Mohammad Shaiful mengingatkan anaknya itu agar meninggalkan dunia hiburan dan kembali ke jalan yang diredai Allah. "Jika benar kamu berakhlak buruk seperti yang didakwa dan diviral, janganlah kamu menggunakan agama sebagai topeng untuk menutup segala kebejatanmu kerana perbuatan itu lebih hina dari iblis. "Tinggalkan dunia selebriti dan kembalilah ke jalan Allah dan jalan leluhurmu. Kami semua merinduimu Iqmal yang dahulu. "Kami pihak keluarga hanya mampu berdoa supaya dijauhkan segala fitnah duniawi dan diberikan keberkatan dalam hidup dan mati," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!