suria

“Biarlah semua berniaga walaupun menunya sama” - Individu dakwa resepi Harimau Menangis milik restoran popular di Kelantan

Seorang lelaki mendakwa resepi daging Harimau Menangis yang dijual ibu Neelofa merupakan resepi asal miliknya.

TINDAKAN ibu kepada pengacara Neelofa iaitu Datin Noor Kartini mendaftar nama produk makanan ‘Harimau Menangis’ di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) terus menjadi perbualan hangat netizen di media sosial.

Menerusi laman Facebook, seorang individu dikenali Farhan Yaacob mendakwa resepi Daging Harimau Menangis yang dijual oleh Aunty Tini Kitchen itu merupakan resepi asal milik restorannya, SIAM yang beroperasi di Kelantan.

“Sejujurnya, resepi daging Harimau Menangis yang digunakan oleh Auntie Tini Kitchen adalah adalah resepi dari Restoran SIAM (sekiranya diolah resepi, tidak lagi berkaitan).

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Neelofa mohon maaf, mengaku terlepas cakap isu trademark daging harimau menangis

“Saya sendiri yang berkongsi resepi SIAM tanpa dipengaruhi tetapi lebih kepada kepercayaan konsep kekeluargaan ketika dihubungi oleh seorang ahli keluarga mereka.

“Saya, isteri dan SIAM tiada masalah apabila mereka komersialkan walaupun terasa hati kerana keutamaan mereka minta sebab mahu makan bersama keluarga di Sabah, ” katanya menerusi laman itu pada Rabu.



Seorang individu tampil menjelaskan mengenai resepi daging Harimau Menangis.

Pada Rabu, Noor Kartini menerusi syarikatnya Noor Khan Enterprise membuat permohonan maaf dan memaklumkan pendaftaran itu bukanlah merujuk kepada nama daging ‘Harimau Menangis’, sebaliknya hanyalah rekaan pada tulisan perkataan itu.

Menurut kenyataan syarikat itu, keputusan mendaftar rekaan pada ejaan itu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan terutamanya produk tiruan.

Sementara itu, Farhan berkata dia berkongsi resepi itu atas dasar percaya dengan keluarga selebriti itu dan tindakannya tampil menjelaskan mengenai perkara ini selepas menerima banyak komen daripada netizen yang mahu mengetahui hal sebenar.

Biarlah semua berniaga walaupun menunya sama, kerana benda sedap pasti akan ada yang menunggu. Perkataan ‘gol’ tiada mana-mana negara claim kerana perkataan ini membawa maksud sama!

FARHAN YAACOB

PEMILIK RESTORAN

“Ini adalah untuk menjelaskan semua perkara kerana ramai yang tahu dan tag saya di media sosial. Ada dalam kalangan keluarga mereka yang membantah kerana keutamaan permintaan resepi atas dasar sebuah keluarga dan saya tidak dimaklumkan secara rasmi idea komersial.

“Biarlah semua berniaga walaupun menunya sama, kerana benda sedap pasti akan ada yang menunggu. Perkataan ‘gol’ tiada mana-mana negara claim kerana perkataan ini membawa maksud sama.

“SIAM bukan perintis Harimau Menangis, sahabat kami Suwarin Jinda (sebelum ini dikenali Hostel Pantai) juga popular dengan Harimau Menangis, ia adalah hakmilik sesiapa sahaja. Berkongsi rezeki supaya lebih diberkati, ” ujarnya.



Ibu Neelofa dikecam kerana mahu daftar nama Harimau Menangis.

Dalam pada itu, Farhan berkata pengakuannya ini bukanlah kerana iri hati, sebaliknya hanya terkesan dengan kata-kata Noor Kartini dalam rakaman video yang tular sebelum ini.

“Sejujurnya, saya dan isteri tiada masalah ataupun iri hati apabila Auntie Tinie komersialkan Daging Harimau Menangis. Itulah perniagaan, perlu cepat dan kreatif. Auntie Tinie mungkin antara yang awal membuat ‘packed food’ tersebut.

“Yang menjadi isu, (berdasarkan video yang tersebar), secara terang-terangan Auntie Tini sendiri sebut tidak boleh guna perkataan ‘Harimau Menangis’, jadi sekiranya myIPO luluskan, apa yang perlu kami (dan peniaga lain) lakukan adalah menukar nama.

“Saya bersangka baik, Auntie Tinie bergurau, tetapi sebagai public figure, perlu menyusun perkataan dengan baik. Saya merendah diri dan memohon maaf sekiranya posting sebelum ini menggores hati sesiapa pun, Auntie Tinie, keluarga terdekat ataupun ejen-ejen Auntie Tinie Kitchen yang mencari rezeki ketika musim pandemik, ” katanya.



Noor Kartini mohon maaf terlanjur kata dalam rakaman tular, baru-baru ini.

Sebelum itu, tular foto memaparkan permohonan pendaftaran logo atau cap dagangan (trademark) yang telah diisi oleh Noor Kartini berkenaan dengan penggunaan nama ‘Harimau Menangis’.

Malah video daripada Instastory Noor Kartini berkenaan pengakuannya bahawa nama ‘Harimau Menangis’ sudah didaftarkan juga hangat menjadi perdebatan netizen.

“Letaklah harimau beranak ke, harimau kentut ke tapi bukan Harimau Menangis, ” katanya dalam video tersebut sambil memasak.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata permohonan cap dagang bagi jenama 'Harimau Menangis' oleh Syarikat Noor Khan Enterprise masih di peringkat pemeriksaan.

Justeru itu, beliau berkata jenama yang dimohon pemilik syarikat itu, Noor Kartini Noor Mohamed belum diluluskan MyIPO dan belum menjadi hak eksklusif usahawan itu.

Mohd Roslan memaklumkan pemohonan Noor Kartini bagi mendaftarkan jenama itu diterima MyIPO pada November tahun lepas dan kelulusannya bergantung kepada hasil pemeriksaan serta pertimbangan agensi tersebut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain