suria

Nur Sajat mengaku tidak bersalah berpakaian wanita di majlis bacaan Yasin dan solat hajat di premis kecantikannya

Sajat didakwa berpakaian seperti wanita ketika mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat.

USAHAWAN kosmetik Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman mengaku tidak bersalah atas tuduhan sebagai seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita pada 2018 lalu.

Menerusi laporan Sinar Harian, Muhammad Sajjad, 36 membuat pengakuan tersebut selepas dibaca di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee @ Shaii di Mahkamah Tinggi Syariah pada 6 Januari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: JAIS tampil jawab dakwaan, sahkan siasat Nur Sajat

Mengikut pertuduhan, dia sebagai seorang lelaki didakwa melakukan kesalahan itu sehingga menyebabkan Islam dipandang hina dan kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie, Atras Mohd Zain.

Sajat didakwa melakukan perkara tersebut ketika majlis bacaan Yasin dan solat hajat di premis kecantikannya di Alam Avenue 2, Jalan Serai Wangi di sini pada jam 7.30 malam, 23 Februari 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Pihak JAIS masih melakukan siasatan terhadap Nur Sajat.

Sajat kemudiannya dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM3,000 dan mahkamah menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, sebuah rakaman memaparkan Sajat menangis dalam keadaan dirinya bergari menjadi tular di laman sosial.

Sajat menerusi Instagram mendakwa, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) seperti melengah-lengahkan urusan surat jaminan dan turut menyebabkan kecederaan kepadanya ketika proses siasatan dijalankan di Ibu Pejabat JAIS di sini.

Sajat turut mendakwa dia dilayan dengan buruk dan digari sehingga mengalami bengkak di bahagian badan kerana bergelut untuk mempertahankan diri walaupun sudah tampil memberikan kerjasama untuk siasatan pihak JAIS.

Menerusi laporan sebelum ini, JAIS turut mengesahkan pihaknya menjalankan siasatan terhadap usahawan tersebut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain