suria

[VIDEO] Janna Nick akhirnya jawab isu ‘Lisa Blackpig’, buru penyebar fitnah persenda artis Kpop - “Salah laku mereka adalah kesalahan jenayah serius”

GERAKAN yang diwujudkan netizen bagi menentang Janna Nick di media sosial gara-gara didakwa mempersendakan selebriti Korea akhirnya bertukar menjadi lebih serius.

Dakwa pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu, dia kini berdepan ugutan jenayah dan serangan peribadi termasuk membabitkan syarikat produksi miliknya, Janna Nick Studios.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara ‘Lisa Blackpig’ akaun Instagram, Twitter Janna Nick gagal diakses! Peminat Kpop bersatu hati buat gerakan ‘report’

Sehubungan itu Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 26, tampil membuat laporan polis bagi mempertahankan diri.



Janna membuat laporan polis pada tengah malam Ahad.

"Masih terdapat individu-individu yang membuat kenyataan fitnah terhadap saya yang turut membabitkan keluarga saya apabila mengatakan saya mempersendakan mendiang Kim Jong-hyun serta Lisa Manoban.

"Saya juga berdepan dengan ugutan jenayah dan serangan peribadi terhadap Janna Nick dan Janna Nick Studios," katanya menerusi kenyataan kepada mStar.

Sejak beberapa hari lalu Janna menjadi sasaran netizen hingga namanya menjadi trending di Twitter serta wujud tanda pagar #JannaNickGoingToJailParty.

Ia berikutan Janna didakwa mempersendakan bintang Kpop, Lalisa Manoban atau Lisa daripada kumpulan Blackpink apabila salah satu watak telelem pertama arahannya, Delen dikatakan menggunakan nama Lisa Blackpig.

Saya sama sekali tidak mempersendakan mana-mana individu apatah lagi mempersendakan mendiang Kim Jonghyun ataupun menyamakan Lisa Manoban dengan ‘Lisa Blackpig’ sebagaimana yang ditohmah.

JANNA NICK

PELAKON

Bukan itu sahaja, Janna turut dikecam apabila video lama yang mengaitkan dia dengan kematian anggota kumpulan Shinee, Jonghyun, meninggal dunia pada 2017 kembali dikongsi peminat.

Mengulas lanjut mengenai laporan polis dibuatnya, Janna berkata pihak pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti individu yang melemparkan fitnah terhadapnya.

"Siasatan telah dijalankan oleh pihak polis dan pihak Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) turut terlibat dalam mengenalpasti individu-individu pesalahlaku meskipun mereka cuba berlindung di sebalik nama dan akaun samaran.

"Pasukan peguam saya sedang dalam proses menyimpan segala rekod yang diterbitkan di Twitter, Instagram, Facebook dan semua media sosial yang memfitnah, membuat ugut jenayah serta menyebarkan tohmahan dan hashtag negatif membabitkan perkara ini untuk tindakan undang-undang," katanya.



Paparan skrin dikongsikan netizen di media sosial yang dikaitkan dengan Lisa daripada kumpulan Blackpink.

"Salah laku mereka (netizen) adalah suatu kesalahan jenayah yang serius dan telah mengakibatkan kerosakan termasuk menjejaskan reputasi dan nama baik saya dan Janna Nick Studios bukan sahaja di dalam Malaysia bahkan di luar negara," katanya

Dalam pada itu Janna sekali menegaskan dia tidak pernah mempersendakan mendiang Jonghyun seperti yang didakwa netizen.

"Saya ulangi di sini, saya sama sekali tidak mempersendakan mana-mana individu apatah lagi mempersendakan mendiang Kim Jonghyun menerusi video yang direkodkan dan dimuat naik oleh Sharifah Sakinah pada tahun 2018 ataupun menyamakan Lisa Manoban dengan ‘Lisa Blackpig’ sebagaimana yang ditohmah.

"Berkenaan tohmahan yang kononnya saya menyamakan atau menggelar Lisa Manoban sebagai ‘Lisa Blackpig’, ianya adalah terpesong sama sekali," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain