suria

[VIDEO] Sindir Nabila Razali bazirkan peluang di pentas AJL35, Hafiz Hamidun mohon maaf jika terasa - “Sebagai peminat lagu itu, saya cuma luah kekecewaan... itu saja”

GARA-GARA memuat naik status seperti mengkritik persembahan lagu Peluang Kedua nyanyian penyanyi Nabila Razali di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada malam Ahad, penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun dikecam netizen.

Menerusi ciapan Hafiz, 37, di Twitter, dia seakan-akan menyindir Nabila sudah membazirkan peluang yang diberikan apabila nyanyiannya terkucil di bahagian korus ketika mendendangkan lagu tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Nabila Razali ‘terkucil’ di AJL35, rakan artis tetap sokong - “Saya dapat rasakan dia gementar”

Peluang kedua adalah peluang yang paling teruk jika dibazirkan. Dan ia baru saja dibazirkan, ” tulis Hafiz sebelum memadam status itu selepas beberapa minit mengundang kecaman.



Selain netizen, chef selebriti iaitu Datuk Fazley Yaakob turut memberi teguran kepada Hafiz.

Bagaimanapun pemilik nama Mohammad Hafiz Hamidun menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang niat untuk ‘menyerang’ secara peribadi penyanyi berkenaan namun hanya meluahkan rasa kekecewaan sebagai peminat lagu tersebut.

Penyanyi lagu Zikir Terapi Diri ini juga memohon maaf kepada semua yang tergores hati atau tersinggung dengan kata-katanya dan mengambil keputusan untuk memadam status itu kerana enggan mengeruhkan keadaan.

“Saya langsung tiada niat nak jatuhkan atau rendah-rendahkan persembahan Nabila. Tapi, sebagai peminat lagu tersebut, saya cuma luahkan kekecewaan. Itu saja.

Apa-apa pun, saya puji Nabila yang berjuang sampai ke akhir lagu tersebut.

HAFIZ HAMIDUN

PENYANYI

“Minta maaf kalau ada yang beranggapan tweet tersebut menggores hati. Saya tweet sekejap kemudian ramai yang retweet dan ada yang marah. Jadi saya delete tweet tersebut, ” kata Hafiz ketika dihubungi mStar.

Nasib sekali lagi tidak berpihak kepada Nabila, 29, apabila persembahannya menerusi lagu Peluang Kedua di pentas AJL35 mengundang kritikan netizen berikutan berlaku sedikit insiden 'terkucil' di bahagian korus ketika dia mendendangkan lagu tersebut.

Biarpun menerima pelbagai kritikan dan kecaman namun beberapa selebriti tempatan antaranya Michael Ang, Syafiq Kyle, Mira Filzah, Neelofa dan Ika Nabella tampil bersolidariti memberi kata-kata semangat kepada Nabila.

Dalam pada itu. Hafiz turut mengakui dia antara salah seorang peminat lagu ciptaan penyanyi dan komposer Hael Husaini serta MFMF itu dan sama seperti penonton lain yang meletakkan harapan besar serta menantikan yang terbaik.



Persembahan Nabila di pentas AJL35 dikritik netizen gara-gara nyanyiannya terkucil.

Jelas Hafiz, ciapan atau tweet yang dikongsikan itu tiada kata kejian atau kutukan malah dia turut memuji keberanian Nabila yang terus berjuang sampai ke akhir persembahannya.

“Saya sendiri menyukai lagu tersebut dan ia juga antara lagu yang hebat di radio dan platform streaming. Semestinya harapan saya sangat besar sama seperti penonton lain untuk menantikan yang terbaik.

“Apa-apa pun, saya puji Nabila yang berjuang sampai ke akhir lagu tersebut. Saya pun tiada masalah dengan Nabila dan ada mesej secara peribadi kepadanya di Instagram menjelaskan perkara sebenar.

“Tweet saya cuma tweet umum, dan saya rasa tiada bahagian yang saya mengutuk atau mengeji. Tapi jika ada yang beranggapan sebaliknya, sekali lagi saya minta maaf, ” ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain