suria

Rupa-rupanya Janna Nick penghidap bipolar, akui pernah cuba bunuh diri - “Saya tak punya keluarga yang sempurna...”

Janna Nick sudah mendapatkan rawatan bagi merawat penyakit bipolar.

SELEPAS beberapa minggu berehat daripada media sosial, pelakon Janna Nick tampil mendedahkan dia rupa-rupanya menghidap penyakit bipolar.

Menerusi perkongsian di Instagram, Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 26, berkata dia kini sedang menjalani rawatan dengan mengambil ubat atas nasihat doktor.

ARTIKEL BERKAITAN: Janna Nick rakam detik menangis dalam kereta, emosi terganggu - “Saya dengar lima, enam suara dalam kepala beri idea berbeza untuk kerja”

"Saya telah didiagnos secara klinikal menghidap penyakit bipolar. (Sekarang) saya berehat daripada menggunakan media sosial untuk fokus pada diri sendiri.

"Sudah seminggu (dan masih berterusan) saya makan ubat antidepressant.

"Selama ini saya ingatkan fikiran saya berfungsi sama seperti orang lain... ingatkan semua orang ada lebih daripada tiga atau empat suara dalam kepala mereka," katanya.

Bipolar merupakan penyakit kemurungan manik yang menyebabkan gangguan mental.

Janna berkongsikan tentang penyakitnya di Instagram.

Pelakon drama Marry Me Senorita ini juga menganggap suara-suara dalaman yang sering bermain di fikirannya adalah sesuatu yang normal sehinggalah dia mendapatkan rawatan.

"Saya memang ingat ia adalah normal untuk suara dalaman itu... untuk sentiasa bercakap satu sama lain seperti sedang melakukan perbincangan kumpulan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Sehinggalah saya sedar (yang perkara itu tidak normal) selepas saya mula makan ubat.

"Saya tak tahu (penyakit bipolar ini datang) disebabkan faktor genetik atau disebabkan kehidupan masa silam saya," ujarnya lagi.

Saya telah didiagnos secara klinikal menghidap penyakit bipolar.

JANNA NICK

PELAKON

Kekasih kepada aktor Dini Azan Schatzmann, 27, ini juga membuat pendedahan mengejutkan bahawa dia pernah membuat cubaan bunuh diri sebanyak dua kali diusia remaja.

"Seawal usia lapan tahun saya rasa nak mati. Kehidupan kanak-kanak saya tidak seperti rakan-rakan yang lain. Seingat saya, sepak terajang memang jadi 'makanan' buat saya.

"Saya pernah cuba untuk bunuh diri ketika usia 14 tahun dengan menelan beberapa biji panadol yang dicampurkan dengan ubat-ubat lain yang saya boleh dapati pada ketika itu.

"Saya tidak mempunyai sebuah keluarga yang sempurna... dulu duduk dekat sekolah berasrama, jauh.

Janna tak dapat kawal perasaan kerana tekanan kerja.

"Kali kedua saya cuba bunuh diri adalah setahun selepas itu... ketika tahun saya sedang menduduki PMR (Penilaian Menengah Rendah), saya kelar pergelangan tangan di hadapan adik saya sendiri," luahnya.

Menerusi laporan mStar sebelum ini, Janna memuat naik sebuah video sedang menangis disebabkan tekanan yang dihadapinya.

Dalam video tersebut, pengacara Melodi itu berulang kali memberitahu dia penat memikirkan tentang kerja, namun terpaksa meneruskan demi mencari rezeki untuk keluarga.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain