suria

Ustaz Azhar Idrus tak rentas negeri untuk tahnik anak Siti Nurhaliza, kebetulan ada di Kuala Lumpur

Ustaz Azhar Idrus diundang ke majlis tahnik anak kedua Siti Nurhaliza yang diadakan pada minggu lalu.

SELEPAS namanya menjadi sasaran netizen, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza akhirnya tampil mempertahankan penganjuran majlis tahnik anak lelakinya kerana didakwa berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Menerusi kenyataan media yang dikirimkan kepada mStar, Siti, 42, berkata tiada sebarang aktiviti rentas negeri melibatkan tetamu undangan mereka ke majlis tahnik anak keduanya, Muhammad Afwa yang diadakan pada 26 April lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza ‘kena’ lagi! Netizen tak senang hati tengok majlis tahnik Muhammad Afwa - “PDRM boleh la saman Tokti”

"Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

"Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), aturcara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial PKPB seperti yang tertakluk pada tempoh itu," katanya.

Selain itu Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa juga menjelaskan dia tidak pernah memandang ringan mengenai hal SOP.

Menerusi kenyataan itu juga, Siti berkata kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hanya singgah ke majlis itu bagi menyempurnakan bacaan doa.

Siti turut mengundang Datuk Dr Zulkifli ke majlis yang dianjurkannya itu.

"Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Datuk Dr Zulkifli, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

"Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain," katanya.

Siti dan suami dalam masa yang sama turut memohon maaf di atas kekecohan yang timbul disebabkan penganjuran majlis tersebut.

Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku.

DATUK SERI SITI NURHALIZA

PENYANYI

"Kami memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak... kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan.

"Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan," ujarnya.

Menerusi laporan mStar pada Ahad, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan tindakan Siti dan suami mengundang pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang difahamkan menetap di Terengganu ketika larangan merentas negeri masih dikuatkuasakan.

Siti berkata majlis berlangsung mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Malah penganjuran majlis di kediamannya itu juga dilihat sebagai tidak sensitif dengan situasi semasa apabila kes harian jangkitan Covid-19 masih lagi mencatatkan empat angka.

Sebelum ini, netizen turut mempertikaikan isu SOP di hospital tempat Siti melahirkan putera sulungnya itu apabila mereka membenarkan kehadiran ramai pelawat selain Datuk K.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Ini kerana kebanyakan hospital tidak akan membenarkan pelawat lebih-lebih lagi untuk wanita yang baharu bersalin.

Siti selamat melahirkan Muhammad Afwa di sebuah pusat perubatan swasta di Kota Damansara, Selangor pada 19 April lalu.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain