suria

Bekas suami Zarina Anjoulie dibebaskan dengan jaminan polis

Eilyas ditahan susulan laporan polis yang dibuat Zarina pada Sabtu.

KEMELUT antara Zarina Anjoulie dengan Eilyas Azhan semakin serius apabila bekas suami kepada aktres itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada Ahad sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Ia susulan laporan polis dibuat Zarina Anjoulie atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul, 34, pada Sabtu terhadap Eilyas Azhar yang berusia 20-an.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas suami Zarina Anjoulie terkejut dituduh kaki ugut buka aib - “Dia buat IG live ternampak lutut dan paha sikit pun, saya akan tutupkan aurat”

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman tindakan diambil selepas pelakon berkenaan membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterima daripada bekas suaminya itu.

"Pelakon itu mendakwa terima pesanan berunsur ugutan daripada bekas suami bertujuan untuk mengaibkannya di media sosial.



Zarina memuat baik paparan skrin laporan polis pertama terhadap bekas suaminya.

"Sehubungan itu pada semalam (Ahad), suspek telah hadir ke IPD untuk dirakam percakapan dan ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan dalam waktu terdekat.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pada Ahad, Zarina Anjoulie telah memuat naik di Instagram beberapa bukti tangkap layar mesej perbualan yang mana Zarina bertanya sama ada dia perlu membayar Eilyas jika ingin diceraikan, sekali gus lelaki itu meletakkan harga bayaran berjumlah RM10,000.

Pada hantaran sama, pelakon dan model itu turut berkongsi laporan polis yang dibuat mengenai tindakan Eilyas yang pernah memanjat pagar rumahnya untuk merakam gambar dan videonya dalam keadaan aib.



Zarina dan Eilyas sah bercerai kali kedua pada awal Mei lalu.

Menerusi laporan mStar, Zarina tampil membuat laporan polis kedua terhadap Eilyas manakala kali pertama laporan polis dibuat pada bulan lalu selepas lelaki itu didakwa menceroboh rumahnya hanya untuk merakam foto aib.

Bagaimanapun Eilyas ketika dihubungi mStar menafikan semua dakwaan tersebut malah terkejut dengan tuduhan berkenaan kerana menurutnya dia adalah individu yang sedaya upaya cuba menutup maruah bekas isterinya itu ketika mereka masih bersama.

Zarina Anjoulie yang lebih mesra dipanggil Anju mendirikan rumah tangga dengan Eilyas pada 17 Julai tahun lalu di Pejabat Agama Islam Daerah Seremban selepas empat tahun bergelar ibu tunggal.

Pada awal Mei lalu, Zarina mengesahkan dia sudah bercerai dengan Eilyas selepas rujuk buat kali pertama pada 2 awal Mac lalu.

Ia merupakan pengumuman penceraian kali kedua dengan Eilyas kerana pada 27 Januari lalu, Zarina pernah memaklumkan perkahwinan mereka sudah berakhir selepas enam bulan mendirikan rumah tangga.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain