suria

Facebook jadi punca WhatsApp Mubarak Majid digodam, senang-senang scammer dapat habuan RM10,000 - “Saya bagi verification code”

Mubarak diperdaya rakan Facebook yang tidak dikenali sehingga aplikasi WhatsApp digodam.

GARA-GARA terpedaya dengan individu tidak dikenali di Facebook, pelakon veteran Mubarak Majid mengakui ia menjadi punca beberapa kenalannya termasuk dalam kalangan selebriti menjadi mangsa scammer.

Menjelaskan perkara itu, Mubarak, 63, berkata kecuaian berkongsi kod pengesahan yang dihantar ke telefonnya membuatkan aplikasi WhatsApp miliknya itu digodam individu tidak bertanggungjawab.

ARTIKEL BERKENAAN: Bell Ngasri sangka pelakon senior Mubarak Majid terdesak nak pinjam duit, ‘transfer’ RM1, 000 - “Baru sedar, saya dah kena kencing!”

"Sebenarnya saya diperdaya oleh rakan daripada Facebook yang saya tidak kenali, dia minta verification code WhatsApp dengan saya.

"Awalnya saya tak nak bagi, tapi dia pujuk dan memberitahu WhatsApp saya ada masalah dan perlu diperbetulkan, saya pun bagi... tiba-tiba WhatsApp sudah tidak boleh digunakan.

Perkongsian Mubarak Majid di Instagram miliknya.

"Saya pun tak tahu macam mana boleh percayakan dia sedangkan tak kenal... maklumlah saya mana la tahu tentang benda ni semua," katanya kepada mStar.

Pelakon drama Cukup Derita Itu turut meminta mana-mana individu yang membuat pemindahan wang kepada akaun scammer itu untuk membuat laporan polis.

Kata Mubarak, setakat ini enam orang teman rapatnya tampil memberitahu terpedaya dan membuat pemindahan wang dalam jumlah yang banyak ke akaun individu tidak dikenali itu.

Saya pun tak tahu macam mana boleh percaya dengan dia sedangkan tak kenal.

MUBARAK MAJID

PELAKON

"Setakat ni yang saya dimaklumkan oleh mereka ada lima atau enam orang yang telah memindahkan wang... salah seorangnya Bell Ngasri.

"Saya tak tahu berapa jumlah keseluruhan yang scammer tu dapat tapi dalam anggaran lebih RM10, 000 dan pelaku masih belum ditangkap," ujarnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Dalam pada itu Mubarak berkata, di sebalik kejadian buruk itu dia menyedari ramai individu yang masih ambil berat tentang keadaannya dan sudi membantu sekiranya dia betul-betul dalam situasi tersebut.

"Saya tak sangka rakan-rakan saya boleh tertipu, mungkin mereka terlalu baik dan ikhlas nak membantu tapi sayangnya bukan saya dalam situasi itu.

"Saya juga sedar rupa-rupanya masih ada orang sayang dan ambil berat jika saya betul-betul susah. Mereka kawan yang baik dan saya rasa terharu sangat.

Pelakon Bell Ngasri antara pelakon yang telah diperdaya.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa individu menuntut agar dia membayar semula wang yang sudah dipindahkan kepada scammer tersebut.

"Ada beberapa orang yang hubungi saya untuk minta ganti rugi. Saya cuma boleh minta maaf.

"Mungkin saya boleh ganti sekiranya ada rezeki lebih tapi bukan dengan jumlah yang penuh sebab kerja saya pun terkesan," ujarnya.

Sebelum ini, aplikasi WhatsApp pelakon Mubarak Majid digodam scammer untuk memperdaya rakan-rakan dalam senarai telefon bimbitnya.

Mubarak kemudiannya segera membuat laporan di Balai Polis Sri Gombak pada petang, Rabu.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain