suria

Ayu Shahira buat laporan terhadap Radhi OAG, bimbang kejadian pukul berulang

Ayu buat laporan polis terhadap Radhi kerana bimbang dengan keselamatannya.

BIMBANG kejadian sama berulang, seorang wanita iaitu Nur Shahira Ayu Zahiri terpaksa membuat laporan polis terhadap bekas suaminya iaitu Radhi OAG sebagai langkah berjaga-jaga dan faktor keselamatan.

Berkongsi mengenai insiden yang berlaku pada Selasa lalu itu, Ayu mendakwa bekas suaminya bertindak kasar terhadapnya selepas permintaan untuk bergambar secara selfie ditolak.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi ditahan pukul bekas isteri selepas enggan bergambar

Dakwa wanita tersebut, Radhi secara tiba-tiba bertindak menolak badannya selepas permintaan duduk di sebelah untuk bergambar bersama tidak dilayan.

"Ya, memang betul saya buat laporan polis. Saya buat pun demi keselamatan saya, takut benda sama berulang lagi. Saya pun tak boleh nak kongsi lebih sebab kes masih dalam siasatan polis.

"Seperti dalam laporan, dia bertindak begitu selepas saya tak nak ambil gambar swafoto bersama. Dia tolak badan saya," kata wanita berusia 27 tahun itu ketika dihubungi mStar pada Khamis.

Penyanyi ditahan 1

Suspek ditahan di kediamannya di Kota Damansara.

Menerusi laporan media pada Rabu, seorang penyanyi berusia 45 tahun ditahan di kawasan kediamannya di Kota Damansara selepas dipercayai memukul bekas isteri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku ketika mangsa mahu mengambil anak lelakinya daripada suspek di kawasan parkir rumah kira-kira 2.29 petang.

Tambah Mohamad Fakhrudin, kejadian itu berlaku selepas terdapat perselisihan faham gara-gara mangsa enggan bergambar bersama lelaki terbabit.

Katanya, pihak polis telah menahan lelaki berkenaan di kediamannya dan hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumahtangga 2017.

Dalam pada itu, Ayu Shahira turut berharap Radhi tidak akan mengulangi perbuatan tersebut demi kebaikan anak-anak mereka yang kini sudah bersekolah.

Kesian mereka kalau tahu bapanya berkelakuan seperti itu.

AYU SHAHIRA

BEKAS ISTERI RADHI

"Saya berharap sangat dia tidak mengulangi perbuatan itu. Kalau tak nak fikir diri sendiri, fikirlah anak-anak. Mereka dah besar dan faham apa yang terjadi.

"Kesian mereka kalau tahu bapanya berkelakuan seperti itu. Anak-anak pun dah bersekolah, bimbang nanti mereka malu dengan kawan-kawan," katanya.

Sementara itu menerusi laporan The Star pada Khamis, suspek dijangka akan berdepan tuduhan memukul bekas isteri di mahkamah pada Jumaat, 22 April.

Menurut Mohammad Fakhrudin, penyanyi tersebut sudah direman selama dua hari sejak Rabu.

Untuk rekod, Ayu dan Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali berkahwin pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Aisyah dan Muhammad yang kini masing-masing berusia tujuh dan enam tahun.

Pada 16 Julai 2019, mahkamah Rendah Syariah, Subang Bestari, memutuskan pasangan itu sah bercerai talak satu selepas Radhi melafazkan talak di rumah mereka kira-kira jam 4.20 pagi pada 25 Mac 2019.

Sebelum perkahwinan bersama Nur Shaira Ayu, Radhi pernah mendirikan rumah tangga bersama Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 17 tahun.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI atanya.

Artikel Lain