suria

Ras Adiba Radzi tak sedap hati, gerak misi cari Zalina Azman malam ini!

Ras berharap rakan baiknya akan ditemui.

SENATOR dan bekas personaliti televisyen, Datuk Ras Adiba Radzi akan menjalankan misi mencari sahabat baiknya, Zalina Azman di sekitar kawasan Shah Alam yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

Ras berkata dia bersama suami, Mohamed Azam Ali yang juga bekas kaki tangan TV3 akan berusaha menjejaki bekas pengacara program Money Matters itu atau sekurang-kurang mendapatkan lebih banyak maklumat bagi membantu pencariannya.

"Saya berharap Zally (panggilan untuk Zalina) akan ditemui. Kami akan berusaha menjejakinya di sekitar kawasan perumahannya.

zalina azman 1

Berita kehilangan Zalina mula tular sejak Isnin.

"Rakan-rakan suami saya juga memiliki kenderaan pacuan empat roda dan sedia memberi bantuan dalam misi kami malam ini. Diharapkan semua berjalan lancar.

"Zally juga merupakan salah seorang yang pernah bekerja dalam organisasi media, jadi saya berharap pihak wartawan dapat sama-sama hebahkan cerita ini supaya dia segera ditemui," katanya kepada mStar.

Terdahulu pada malam Isnin, berita kehilangan Zalina mula mendapat perhatian ramai selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam satu kenyataan memaklumkan mengenai perkara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Di mana awak Zally?” - Bekas personaliti TV3, Zalina Azman dilaporkan hilang

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33, berhubung kehilangannya pada 29 November tahun lalu.

Zalina, 58, dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

Sementara itu, Ras memberitahu dia terkejut dan ralat apabila mengetahui berita kehilangan sahabat baiknya itu.

Cuma apa yang membuatkan saya ralat apabila kami lambat dapat tahu tentang kehilangannya

SENATOR DATUK RAS ADIBA RADZI

Katanya, beliau mengetahui berita tersebut selepas dikongsi oleh Haliza Hashim yang turut bernaung di bawah stesen TV3 suatu ketika dahulu.

"Saya dapat tahu apabila Haliza Hashim berkongsi gambar laporan polis dan memang rasa terkejut. Cuma apa yang membuatkan saya ralat apabila kami lambat dapat tahu tentang kehilangannya.

"Kami memang lama tidak berjumpa. Rasanya kali terakhir bertemu pada 2020 dan selepas itu hanya berhubung melalui mesej sahaja. Ada juga perancangan untuk berkumpul dengan rakan-rakan yang lain namun belum berkesempatan," ujarnya.

ras 22

Kali terakhir Ras berjumpa Zalina adalah pada 2020.

Berkongsi kenangan bersama rakannya itu, kata Ras hubungan mereka tidak terbatas untuk urusan kerja sahaja dan menyifatkan personaliti televisyen itu sebagai seorang yang baik dan sering menghabiskan masa bersama ketika bertugas di TV3.

"Kami rapat bukan disebabkan kerja sahaja. Saya bersama Zally dan rakan-rakan lain selalu keluar makan bersama sebelum ini. Cuma sekarang apabila sudah berkeluarga, masa agak terbatas untuk bertemu dan meluangkan masa.

"Kami tidak tahu apa yang dilalui oleh Zalina kerana dia tidak pernah cerita berhadapan dengan sebarang masalah," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain