PENGARAH dan pelakon Datuk Afdlin Shauki bersetuju dengan tindakan penutupan Crackhouse Comedy Club oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekiranya ia berkaitan kesalahan tidak mempunyai lesen hiburan. Afdlin berkata, keputusan itu perlu diterima dengan hati terbuka oleh pemiliknya yang perlu menanggung akibat atas kesalahan dilakukan. "Penutupan kelab tersebut adalah di luar bidang kuasa saya, namun apa yang terjadi mereka perlu menanggung akibatnya. "Persoalannya adakah mahkamah telah menjatuhkan hukum? Logik jika nak tutup kalau sudah jatuh hukum. Crackhouse Comedy Club dibatalkan lesenya pada 31 Julai 2022. "Tetapi jika DBKL tutup atas alasan lesen, kita perlu terima," katanya kepada mStar. Afdlin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama terbaharu platform penstriman Viu berjudul Ai.5Ya di Subang Jaya pada Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: Lesen perniagaan Crackhouse Comedy Club dibatalkan, pemilik disenarai hitam seumur hidup ARTIKEL BERKAITAN : Pengasas ‘Crackhouse Comedy Club’ hadapi 3 pertuduhan, mengaku tak bersalah Terdahulu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Jawatankuasa Perlesenan DBKL telah bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab itu berkuat kuasa 30 Julai lalu. Pemilik kelab itu turut disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan di mana-mana premis di Kuala Lumpur. Pada 13 Julai lalu, Crackhouse Comedy Club yang terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Kuala Lumpur digantung sementara operasinya oleh DBKL selepas didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 sehingga 2017. Pengasas dan pemilik bersama kelab komedi berkenaan, Rizal Van Gayzel. Dalam pada itu, Afdlin turut mempersoalkan sama ada kelab itu ditutup berkaitan lesen atau atas aduan orang ramai kerana masalah moraliti. "Yang salah tetap salah... cumanya adakah penutupan kelab itu disebabkan memang melanggar undang-undang atau hanya kerana aduan orang ramai tentang isu moral? "Perkara sebegini juga boleh jadi bahan putar belit kerana orang boleh kaitkan dengan politik," jelasnya. Terdahulu pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club yang juga seorang pelawak berdiri, Rizal Van Gayzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu atas tiga pertuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya pada 4, 5 dan 6 Julai yang menyentuh isu sensitiviti perkauman. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI