MODEL dan pelakon Alicia Amin membuat kejutan pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur pada Khamis apabila tampil membuat protes tentang isu bayaran. Tampil seorang diri sambil memegang plakad, Alicia membuat bantahan terhadap seorang individu yang didakwa tidak membayar upah model yang sudah melunaskan tugas mereka di pentas peragaan. "Semua model tahun ini perlu dibayar dalam tempoh sehari. Kepada mereka yang masih menanti bayaran daripada tahun-tahun sebelumnya, sila datang berjumpa saya," tulisnya pada plakad berkenaan. Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 sedang berlangsung sejak 17 Ogos sehingga 21 Ogos ini. Alicia ingin mempertahankan model yang tidak mendapat bayaran. Tindakan Alicia membuat protes secara seorang diri itu bagaimanapun telah dihalang dan diarahkan meninggalkan acara itu oleh pengawal keselamatan yang bertugas. "Sudah tentu kena halau, tetapi kita usaha apa yang termampu," tulisnya di Instagram Story. ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Semua lagu trending, Aliff Syukri ‘confident’ diri penyanyi nombor satu... Sempat ulas mengenai tipu ubat ARTIKEL BERKAITAN: Raja Azmi bangga ‘Jerangkung Dalam Almari’ kutip RM2 juta, akui Adi Putra penarik penonton ke panggung Menjelaskan tindakannya itu, Alicia berkata, dia bergerak sendiri membuat protes itu kerana tidak mahu melibatkan orang lain sehingga memusnahkan karier mereka. Jelasnya, apa dilakukan itu kerana tahu bagaimana sukarnya bergelar seorang model apatah lagi bekerja sendiri tanpa dibawah mana-mana pengurusan. Penjelasan Alicia mengenai tindakannya di Instagram. "Saya boleh membuat protes tentang ketirisan bayaran dan pada masa sama menyokong pereka fesyen yang telah membina karier saya. Ia adalah dua perkara berbeza. "Saya tidak mendapat sebarang keuntungan. Saya lakukan ini kerana teringat betapa menakutkan dan sukarnya sebagai seorang model mentah yang cuba menyeimbangkan antara hak dan peluang untuk ditempah. Ia tempat yang sukar," jelasnya. Alicia turut menjelaskan sudah 12 tahun dia bergelar seorang model dan sudah penat dengan layanan buruk diberikan. Dalam satu entri berbeza di Instagram Story, Alicia turut meminta model yang tidak mendapat bayaran dalam tempoh 24 jam selepas selesai bertugas untuk memberitahunya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI