suria

“Nabila, hidup ini bukan lakonan ada larangan perlu ditinggalkan…” - Pendakwah bidas Nabila Huda isu konsert Blackpink

PU Syed menjelaskan kematangan terletak kepada kefahaman mereka terhadap perintah dan larangan Allah SWT.

PANDANGAN pelakon Nabila Huda berhubung cadangan protes penganjuran konsert penyanyi antarabangsa di negara ini sebagai langkah tidak matang mendapat respons pendakwah iaitu Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri Syed Ishak.

Membidas kenyataan dibuat Nabila, Syed menjelaskan kematangan seseorang itu sebenarnya terletak kepada kefahaman mereka terhadap perintah dan larangan Allah SWT.

Jelasnya, tentangan yang dibuat bukan bererti tidak matang tetapi kematangan seseorang itu apabila mampu menilai sesuatu perkara sama ada baik atau pun sebaliknya.

"Saya tetap dengan pendirian menentang kemungkaran yang berlaku dalam negara kita, Malaysia. Kita tidak mahu menjadi punca kemaksiatan kepada Allah SWT.

PU Syed MP

PU Syed menjelaskan hidup manusia bukan lakonan tetapi ketetapan daripada Allah.

"Bukan bermakna tentangan ini kita tidak matang tetapi kita matang dalam menilai sesuatu itu baik atau buruk," jelasnya menerusi sebuah video yang dikongsi di Instagram.

Dalam pada itu, Syed menjelaskan hidup seseorang manusia bukan lakonan tetapi adalah suatu ketetapan daripada Allah dan ada perintah dan larangan-Nya yang perlu dilaksanakan dan ditinggalkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bantah penganjuran konsert Blackpink di Kuala Lumpur, PU Syed usul adakan himpunan bantahan

ARTIKEL BERKAITAN: Anggap protes penganjuran konsert artis antarabangsa tidak matang, Nabila Huda minta fokus isu lebih penting

"Puan Nabila mungkin terlebih matang bila mana tuntutan Allah untuk menutup aurat masih lagi gagal dilaksanakan kecuali dalam lakonan semata-mata.

"Hidup kita bukan lakonan, hidup kita adalah suatu ketetapan daripada Allah dan ada perintah-Nya yang perlu kita laksanakan. Ada larangannya yang perlu kita tinggalkan," katanya.

Twitter

Perkongsian Nabila di Twitter yang mendapat pelbagai pandangan.

Syed turut mengucapkan terima kasih kepada Nabila kerana memanggil orang yang menentang kemungkaran sebagai tidak matang.

Pendakwah itu turut meminta Nabila bermuhasabah diri dan jangan meludah ke langkit kerana bimbang terkena ke muka sendiri.

"Maka muhasabah diri Puan Nabila. Jangan meludah ke langkit, takut merecik ke muka sendiri," katanya.

Terdahulu, Syed menyatakan bantahan terhadap penganjuran konsert kumpulan Kpop Blackpink yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 4 Mac tahun hadapan.

553

Nabila berpendapat masih ada perkara lebih penting yang boleh dijadikan perhatian.

Syed turut merancang untuk mengadakan himpunan bantahan sekiranya konsert tersebut masih diteruskan.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) Ahmad Fadhil Shaari turut membangkitkan isu sama dan menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk menggerakkan bantahan sama jika tuntutan itu tidak diendah.

Nabila pula menerusi Twitter meluahkan pendapat bahawa masih ada perkara lebih penting boleh diberi perhatian berbanding penganjuran konsert artis antarabangsa di negara ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain