suria

Aliff Syukri minta dibicarakan, mengaku tak bersalah muat naik video sumbang di Instagram

Aliff Syukri mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang.

USAHAWAN sensasi Datuk Aliff Syukri mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang di Instagram pada April lalu di Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis.

Aliff, 35, yang tiba di Mahkamah Sesyen Sepang kira-kira pukul 8.30 pagi membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Aliff didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April lalu, yang dilihat pada 24 April di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di Cyberjaya.

Kes ini didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu banyak aduan, SKMM panggil Aliff Syukri serta individu terlibat dalam MV ‘Kelepok Raya’

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri berani goyang ghairah dengan Baby Shima, netizen ingatkan tentang iman... “Fikir perasaan anak dan isteri”

Aliff yang tiba di mahkamah memakai baju putih sempat bertegur dengan media sebelum dilihat memasuki ke dewan perbicaraan.

"Hari ini amat bermakna buat hidup saya. Saya akan ke mahkamah. Jadi doakan yang terbaik untuk saya," katanya.

Aliff sebelum ini telah dipanggil memberi keterangan di Suruhanya Komunikasi & Multimedia (SKMM) bagi membantu siasatan berhubung video lagu raya berjudul Kelepok Raya kerana dikatakan mengandungi unsur bertentangan dengan norma dan budaya tempatan.

Video yang memaparkan aksi beberapa lelaki berpewatakan lembut menari itu juga telah menerima banyak kecaman dalam kalangan netizen dan Aliff sendiri telah tampil dengan konsep video muzik baharu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain