USAHAWAN kosmetik popular Eriyca Baiduri Abdul Rashid atau lebih popular dengan panggilan Madammu tidak menyangka pertemuan adik-beradiknya dengan bapa kandung menimbulkan rasa tidak puas hati ibu tiri mereka. Ia susulan tindakan kakak kepada Madammu iaitu Dahlia Baiduri Abdul Rashid memuat naik video bertemu bapa mereka itu di Dungun, Terengganu pada Khamis lalu dan sehari selepas itu suaminya menerima mesej meminta mereka menurunkan hantaran berkenaan dari media sosial. Kata Madammu, 33, isteri bapanya itu memberitahu jika mereka gagal berbuat demikian, pihaknya akan memfailkan saman RM10 juta. Bagaimanapun jelas usahawan itu, dia tidak perlu takut kerana yakin mereka tidak melakukan sebarang kesalahan. Madammu tidak dapat berjumpa bapanya kerana keadaan tidak mengizinkan. "Ala, nak saman apa sampai RM10 juta? Salah ke kalau anak-anak sendiri nak jumpa bapa mereka? "Kami tidak akan menurunkan video tersebut kerana dah memang dia bapa kami, mana ada undang-undang yang tidak beri anak bertemu bapa sendiri," katanya kepada mStar. Tambah Madammu, dia tidak dapat menyertai adik-beradik lain dalam pertemuan itu kerana sedang hamil dan tidak boleh berjalan jauh. Dalam pada itu, Madammu menjelaskan bapa mereka sendiri yang menghubungi untuk bertemu setelah sekian lama tidak bersua muka. ARTIKEL BERKAITAN: Mengidam naik Ferrari, netizen puji sikap rendah diri Madammu beritahu kereta sewa ARTIKEL BERKAITAN: "Sejak hari pertama IVF saya kongsi perjalanan zuriat ini" - Madammu enggan sorok berita kehamilan walau kandungan baru 5 minggu Malah katanya, pertemuan tersebut juga berlangsung di sebuah kedai makan dan bukannya di rumah bapa dan ibu tirinya. "Ayah sendiri yang telefon kami katanya sudah lama teringin untuk bertemu dengan adik-beradik dan cucu-cucunya. Ayah pernah datang ke Kuala Lumpur tetapi tidak dapat mencari kami disebabkan sudah menukar nombor telefon. "Namun selepas mendapat nombor telefon kami daripada kawannya, ayah sendiri hubungi minta untuk berjumpa," jelasnya. Berkongsi tentang ibu bapanya, Madammu berkata, mereka sudah berpisah sejak kecil dan dibesarkan oleh ibunya. Ala, nak saman apa sampai RM10 juta? Salah ke kalau anak-anak sendiri nak jumpa bapa mereka? ERIYCA BAIDURI USAHAWAN KOSMETIK Katanya, mereka bercerai ketika ibunya sedang dalam pantang selepas melahirkan adik bongsung, Dayana Baiduri. "Saya ingat lagi ketika ibu sedang berpantang sewaktu melahirkan adik saya, mereka bercerai kerana ayah berkahwin lain. "Sejak ibu dan ayah berpisah pada 1991, kami tidak berjumpa ayah, kecuali sewaktu dia menjadi wali di pernikahan kami. Tapi itu pun tidak sempat berbual lama," ujarnya. Meskipun tidak dibesarkan oleh seorang lelaki yang bergelar ayah, Madammu berkata dia tidak pernah menyimpan kemarahan terhadap bapanya itu. Madammu dibesarkan tanpa seorang bapa. Menurut usahawan ini, dia sendiri sudah terbiasa membesar tanpa ayah dan mengakui tidak terasa hati dengan situasi yang menimpa dirinya. "Seingat saya dalam seumur hidup, saya hanya dapat bertemu dengan ayah sebanyak lima atau enam kali sewaktu kecil dulu. "Sebenarnya saya memang tidak rasa apa-apa kerana saya kenal dunia memang dah tak ada ayah. Saya tidak marah kepadanya, tetapi saya tahu dia sebenarnya orang yang baik. "Dia mudahkan urusan kami, tidak pernah ambil kesempatan kepada kami adik-beradik. Cuma, orang sekelilingnya yang tidak senang dengan kami," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube