INSIDEN pelakon Kamal Adli diserang seorang lelaki menggunakan cota selepas selesai menyertai acara Hari Raya Mega Sale 2023 yang berlangsung di Dewan 5A, Singapore Expo, Singapura pada malam Ahad membuatkan isterinya, Uqasha Senrose trauma. Menceritakan kejadian tersebut, Uqasha, 30, berkata, insiden berlaku di antara pukul 9 hingga 10 malam ketika Kamal sibuk melayan peminat yang mahu bergambar. Kata Uqasha, sebelum kejadian, Kamal, 37, didekati seorang warga emas berkerusi roda mahu bergambar dengan aktor itu sebelum seorang lelaki datang mencari suaminya. "Kami ingatkan dia peminat apabila Kamal tegur lelaki itu, dia tiba-tiba mengeluarkan cota dari poket sebelum menghayunnya berkali-kali di belakang kepala Kamal. Kamal mengalami cedera parah di bahagian kepala. "Darah berjuraian di bajunya... apabila Kamal angkat kepala, dia pukul pada bahagian tulang pipi kemudian berkali-kali di badan. "Apa lebih menakutkan dia juga mempunyai senjata tajam," katanya. Uqasha sebelum ini berkongsi berita mengenai kejadian menimpanya di Instagram selain turut memuat naik memperlihatkan aktres itu sedang menangis dan dipercayai berada di sebuah hospital di Singapura. ARTIKEL BERKAITAN: Kamal Adli cedera dipukul guna cota di Singapura, penyerang berjaya ditahan polis ARTIKEL BERKAITAN: [V] Dua kali keguguran, Uqasha Senrose tak sedar rupanya sudah mengandung Pelakon itu dalam hantaran berkenaan memaklumkan Kamal kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Besar Changi (CGH) akibat bahagian belakang kepalanya koyak akibat dihentak menggunakan cota. Dalam pada itu, Uqasha berkata, lelaki berkenaan memberi alasan dia menyerang Kamal kerana dihantar oleh satu pihak selain mendakwa mempunyai isu peribadi dengan pelakon tersebut. Diasak tentang tindakannya itu, lelaki berkenaan memberitahu dia cemburu kerana Kamal mengahwininya selain memberi ugutan kepada dan adik-beradiknya yang turut berada di tempat kejadian. Keadaan Kamal yang menerima rawatan di hospital di Singapura. "Apa membimbangkan dia mengugut dengan mengatakan dia ingat wajah kami semua dan kami akan menanggung akibatnya. "Dia membuat ugutan itu di hadapan polis yang datang untuk menahannya," katanya. Difahamkan, selain cota, lelaki berusia 34 tahun tersebut turut membawa pisau kerambit. Hari Raya Mega Sale yang diadakan dari Jumaat hingga Ahad merupakan acara anjuran Megaxpress International dan menampilkan beberapa artis dari Malaysia yang meniaga, membuat persembahan dan penampilan khas untuk bertemu peminat di Singapura. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!