suria

Amelia Henderson mengaku seronok kerja bawah A. Aida namun tak puas hati diperintah bayar RM213,000... Fail rayuan di Mahkamah Tinggi

Amelia akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menyebelahi A. Aida.

PELAKON Amelia Henderson masih belum mengalah dengan keputusan Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur yang memerintahkan dia membayar RM213,000 kepada penerbit Datuk A. Aida kerana melanggar kontrak pembabitannya dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Amelia atau Amelia Thripura Henderson, 28, sebaliknya berkata, dia akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dan menganggap kes tersebut akan berterusan selepas ini.

"Saya hormati keputusan dibuat mahkamah (Sesyen) pada hari ini. Saya datang pun tanpa sebarang harapan.

"Tapi apa-apa pun saya bangga dengan diri sendiri kerana yakin apa yang saya lakukan adalah perkara betul dan perasaan itu juga memberi kekuatan untuk saya failkan rayuan.

"Saya rasa kes ini masih berterusan dan kita nantikan sahaja," katanya kepada pemberita.

amelia 1

Amelia diperintah bayar RM213,000 kepada A. Aida Production.

Hakim Zulqarnain Hassan dalam keputusannya turut mengarahkan Amelia memohon maaf serta memadam semua video yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap A. Aida seperti dimuat naiknya sebelum ini.

Bayaran tersebut meliputi bayaran pendahuluan diterima Amelia sebelum penggambaran, ganti rugi am fitnah serta kos penggambaran drama Sekali Lagi Cinta Kembali sebanyak RM101,325.

Peguam mewakili Amelia iaitu Wan Norliana Abdul Rahman berkata, rayuan itu dibuat berdasarkan keputusan keseluruhan mahkamah dan akan memfailkan rayuan secepat mungkin.

ARTIKEL BERKAITAN: Amelia Henderson terima padah langgar kontrak dan fitnah... A. Aida dapat habuan RM200,000

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Amelia Henderson yakin tidak bersalah, mahu terus ‘lawan’ A. Aida... hormat Idris Khan selesai luar mahkamah

"Rayuan kepada Mahkamah Tinggi untuk keputusan keseluruhan hari ini. Secepat mungkin (akan failkan), kami sedang tunggu penghakiman perintah daripada pihak plaintif terlebih dahulu.

"Rayuan bukan bersifat kita boleh terus tangguh," jelasnya.

Sementara itu, Amelia menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan A. Aida malah menyifatkan bekerja di bawah penerbit itu pengalaman indah sepanjang kariernya.

"Pengalaman saya bekerja dengan A. Aida sangat best. Saya tak ada satu patah perkataan negatif nak cakap fasal dia.

amelia 3

Amelia tiada masalah peribadi dengan A. Aida.

"Saya harap semua orang faham ini adalah percanggahan pendapat profesional. Saya hormati semua orang dalam industri dan pengalaman bekerja dengannya sangat menyeronokkan," ujarnya.

Tambah Amelia, dia juga bersyukur dan terharu apabila seluruh ahli keluarganya turut hadir di mahkamah bagi memberi sokongan terhadapnya.

Sebelum ini, A. Aida mengambil keputusan mengemukakan saman terhadap Amelia dan seorang lagi pelakon drama tersebut, Idris Khan kerana menarik diri pada saat akhir daripada drama berkenaan.

Bagaimanapun saman terhadap Idris digugurkan selepas pelakon itu bersetuju menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah dalam perbicaraan yang berlangsung pada 1 November tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain