suria

“Bukan tak bayar cuma lambat, stesen lain pun sama” – CEO Awesome TV jawab kontroversi hutang artis, produksi

Adam (kanan) dan Johan jawab kontroversi berkenaan Awesome TV.

“TAK ada duit, jangan buka stesen TV! Minta buat macam-macam program tapi susah nak bayar!” Itulah antara rungutan segelintir pemain industri hiburan terhadap pemilik stesen televisyen Awesome TV yang dikatakan culas dalam membuat pembayaran kepada artis dan syarikat produksi yang bekerjasama dengan mereka.

Isu liat nak bayar hutang ini menjadi semakin parah apabila terdapat artis dan produser mula menuntut hak mereka sehingga ia diadukan kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang meminta agar kedua-dua pihak iaitu Awesome TV serta mereka yang menuntut hutang menyelesaikan perkara itu secara baik.

Mengejutkan, pihak stesen televisyen itu mengambil pendekatan sebaliknya dengan menempelak menteri yang mempunyai kuasa terhadap kelulusan lesen penyiaran sesebuah syarikat penyiaran dengan meminta beliau tidak campur tangan dalam urusan komersial.

awesome1 - 1

Adam (kiri) dan Johan tampil menjawab kontroversi.

Bagi merungkai persoalan dibangkitkan, mStar secara eksklusif mengambil pendekatan bersemuka dengan empunya stesen berkenaan bagi mendengar sendiri apa masalah yang dihadapi.

Ikuti temubual wartawan mStar, AIN NORMAN bersama Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas dan pengarah urusannya, Johan Ishak.

Kami, pihak mStar nak dengar sendiri daripada mulut pemilik stesen TV kontroversi ini. Ramai artis, produser mula merungut tak dapat bayaran selepas karya mereka disiarkan. Persatuan seni mewakili artis pun mula 'menghentam'. Apa masalah sebenarnya stesen TV ni?

ADAM: Tak ada apa-apa masalah sebenarnya. Kalau bercakap soal bayaran, stesen TV lain bukan tak ada masalah bayaran? Mereka pun ada tapi kenapa ia tidak bangkitkan. Cuba tanya produksi yang bekerja dengan RTM, ada yang setahun setengah masih tak dapat bayaran.

Semua artis dan produksi yang pernah bekerja dengan Awesome TV, cuba anda tanya ada tak yang tak pernah dapat bayaran? Dulu saya pun ada syarikat produksi sendiri. Saya pernah tunggu 1 tahun 5 bulan untuk terima bayaran. Tapi kami faham bagaimana keadaan industri sebab stesen TV ni bergantung kepada pengiklanan. Jadi, kita hold duit yang kita pakai daripada duit pengiklanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Awesome TV minta Fahmi Fadzil tidak masuk campur soal bayaran tertunggak

ARTIKEL BERKAITAN: Norlia Ghani, Azrel Ismail diminta mohon maaf, Awesome TV tiada kena mengena isu bayaran tertunggak

Stesen TV ada kontrak dengan pihak pengiklanan jadi kami ada terma pembayaran. Katakan term pembayaran dengan pengiklanan selama 30 hari, jadi untuk bayaran artis kita letak 60 hari. Kalau pihak pengiklanan lambat, stesen TV pun terpaksa lambat beri bayaran (kepada artis dan syarikat produksi). Isu yang sama dilalui oleh Astro, TV3, jadi perkara ini sebenarnya normal.

Isunya sekarang ialah artis dan syarikat produksi tak dapat bayaran. Itu persoalan besar yang perlu diselesaikan!

ADAM: Kita sebenarnya tiada masalah tentang isu bayaran artis (dan syarikat produksi). Tak ada yang kami tidak bayar, semua artis kita bayar, cuma ia lambat sikit. Pergi la tanya artis mana tak dapat bayaran? Kadang-kadang jangka masa tu lari sikit. Saya pernah dengar sendiri daripada seorang penyanyi. Katanya, soal bayaran lambat perkara normal kerana dia sudah biasa dengan situasi ini.

Saya sedar pelakon-pelakon drama ni selalunya dipilih oleh syarikat produksi. Jarang dipilih secara terus oleh stesen TV. Selalunya habis saja penggambaran mereka terus dapat bayaran (daripada syarikat produksi).

awesome2 - 1

Awesome TV ditubuhkan pada Ogos 2020.

Apabila berurusan dengan stesen TV, terma bayarannya lain. Sebab tu kalau mereka lambat dapat bayaran, dah kelam kabut. Padahal kebanyakan penggiat seni yang dah biasa dengan stesen TV, kalau lambat sikit mereka tidak kisah kerana dah faham.

Pelakon drama yang melenting kalau lambat dapat bayaran sebab mereka dah terbiasa berurusan dengan syarikat produksi (dapat terus bayaran selepas selesai berlakon).

Seniwati Norlia Ghani dan aktor Azrel Ismail juga membangkitkan isu yang sama soal tidak dapat bayaran. Terkejutnya pihak Awesome TV menyelar mereka kerana bercakap hal ini! Kenapa Datuk?

ADAM: Mengenai Norlia dan Azrel, mereka bukan sign kontrak dengan stesen TV kami sebaliknya mereka berurusan dengan syarikat produksi tetapi mereka mengaitkan nama Awesome TV. Mereka tidak semak kontrak ke yang mereka berurusan dengan siapa? Mereka cakap Awesome TV tak bayar. Kontrak mereka dengan Awesome TV ke? Syarikat produksi yang seharusnya bayar mereka dahulu.

Kalau pun pihak produksi beritahu mereka tak dapat bayar artis kerana belum terima bayaran daripada Awesome TV, ia masih tiada kena mengena dengan kami. Itu antara stesen TV dengan pihak produksi.

Kalau artis tak dapat bayaran, mereka tak boleh cakap Awesome TV (tak bayar) sebab kami tidak berurusan secara terus dengan artis. Kita (berurusan) dengan produksi sahaja. Kalau produksi tu nak keluar kenyataan Awesome TV tak bayar, itu lain cerita. Bagi saya, bukan taraf saya untuk menjawab tentang isu-isu yang tidak sepatutnya ini.

Maksudnya, syarikat produksi perlu ada modal sendiri agar mereka dapat bayar pelakon sebelum terbitkan drama?

JOHAN: Ya, syarikat produksi sebenarnya perlu ada backup kewangan yang lain. Produksi perlu ada modal perniagaan yang mencukupi untuk layan mereka punya klien, iaitu seperti stesen-stesen TV. Modal perniagaan yang mencukupi nak datang daripada mana?

ADAM: Untuk buka syarikat produksi mereka perlu ada working capital yang sangat kuat sebab bila mereka nak mulakan produksi, katakanlah kos biasa untuk sebuah telefilem sebanyak RM90 ribu. Jadi, mereka kena sediakan RM90 ke RM95 ribu untuk mulakan penggambaran.

Produksi tidak boleh harapkan duit (pendahuluan) 30 peratus daripada stesen TV untuk mulakan penggambaran. Kalau mereka buat macam tu, confirm sangkut. Ramai orang fikir, tak mengapalah tunggu bayaran 30 peratus daripada stesen TV baru nak mulakan penggambaran.

Dalam masa penggambaran tu akan dapat bayaran lagi, tapi ia tidak sepatutnya berlaku seperti itu. Saya dulu mulakan kerjaya dengan syarikat produksi, saya tahu ia bukan sesuatu yang mudah.

Susulan isu ini, timbul pula dakwaaan Awesome TV sebenarnya tidak mampu untuk menggendalikan sebuah stesen TV kerana faktor kewangan malah terdapat laporan mengatakan tahun ini Awesome TV alami kerugian puluhan juta ringgit!

ADAM: Kalau tidak mampu, kami tidak akan ada program televisyen sendiri. Kami tak buat program Mic On Selebriti, program-program signature yang besar.

Macam mana pula kami nak kekalkan pekerja yang ada sekarang kalau kami tak ada duit (nak bayar gaji)? Dalam media sosial ada orang kata kami tak bayar gaji. Boleh pergi tanya, pekerja mana yang tak dapat gaji?

JOHAN: Stesen TV ini baharu dua tahun (beroperasi) dan nak masuk tahun ketiga. Mana ada syarikat baru yang tahun pertama terus kaut untung yang banyak. Kerugian itu adalah satu pelaburan untuk mengukuhkan lagi syarikat. Ia perkara biasa.

Sejarah stesen TV dekat Malaysia ni, yang paling laju peningkatannya ialah Awesome TV. Dalam masa tak sampai setahun, jumlah penonton yang kami terima sama seperti stesen TV dulu yang mengambil masa tiga tahun (untuk dapat jumlah penonton seperti Awesome TV).

awesome3 - 1

Adam tidak mahu melatah dengan segala kontroversi.

Tak sampai setahun, kami dah berada di kedudukan nombor dua dalam siaran stesen bahasa Melayu. Kita dah cantas semua siaran bahasa Melayu di stesen berbayar.

Kalau lihat sekarang ini, rating program hiburan Mic On kami berada di kedudukan pertama menurut laporan Nielsen. Siaran satu episod mencecah sebanyak 2 juta penonton.

Disebabkan hal kontroversi yang berlaku, adakah pihak Awesome TV serik untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat produksi tertentu?

ADAM: Niat kita nak tolong syarikat-syarikat produksi yang kurang dapat job dan syarikat produksi baru. Produksi-produksi macam ni susah nak dapat job di stesen-stesen TV lain. Jadi, mereka sukar untuk dapat peluang Kita di sini cuba untuk beri peluang nak tolong produksi-produksi ini. Tapi bila kita nak tolong, kita yang kena balik.

Bila dah jadi macam ni baru saya tahu kenapa stesen-stesen TV yang lain selalu ambil syarikat produksi yang sama (kukuh). Lepas ni kalau kami dah tak beri peluang, (produksi baru) jangan bisinglah. Kita dah cuba (nak tolong) tapi nampaknya tak menjadi.

Kita akan pilih beberapa syarikat produksi panel dan akan menggunakan khidmat mereka sahaja. Paling penting, pihak produksi yang boleh dipercayai dan mempunyai modal perniagaan.

Awesome TV dilihat berani membidas Fahmi Fadzil yang menasihati agar masalah bayaran tertunggak ini diselesaikan secara baik. Kenapa macam tu Datuk?

ADAM: Kita beri komen sebab nak cakap benda yang betul. Mana menteri boleh masuk campur hal komersil sesebuah stesen TV. Bagi kami kalau perkara tak betul kita kena tegur. Kalau sikit-sikit kita boleh diam, kalau dah melampau kita kena bersuara.

Saya cakap bukan untuk diri kami sahaja tetapi bagi pihak orang yang ada dalam industri ini juga. Benda-benda remeh fasal artis ni patutnya menteri tak perlu masuk campur.

Akhir sekali, dalam jangka masa lima tahun hadapan, apakah visi yang ingin dilaksanakan Datuk?

Masa depan dunia hiburan ni kita tidak boleh bergantung pada linear televisyen sahaja. Kita kena ubah secara keseluruhan. Kita kena mula dengan digital dan media Over-The-Top (OTT).

Mungkin 10 tahun depan, orang nak tonton program-program televisyen tak perlu tonton dekat TV lagi, mereka boleh tonton secara penuh di aplikasi. 100 peratus.

Sekarang pun saya rasa dah 80 peratus orang di Malaysia dah pakai smart TV. Kami dah mula fikir macam mana kita nak alih dari linear televisyen kepada 100 peratus digital.

Kami akan cuba sediakan program pelbagai genre termasuk hiburan, drama, filem, berita. Kami tidak boleh fokus hanya pada drama atau filem sahaja kerana minat penonton sentiasa berubah-ubah. Kami akan ikut apa yang penonton mahukan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain