suria

Semua kes mahkamah Syamsul, Puteri Sarah selesai termasuklah saman Ira Kazar

Kes injunksi Ira Kazar digugurkan.

PEGUAM syarie mewakili Syamsul Yusof iaitu Azmi Rais memaklumkan kesemua kes melibatkan anak guamnya dengan pelakon Puteri Sarah Liyana telah digugurkan termasuk perintah injunksi terhadap isteri kedua pengarah berkenaan iaitu Ira Kazar.

Menurut Azmi, pasangan itu mencapai kata sepakat untuk tidak membangkitkan lagi isu berkenaan dalam satu perjanjian yang dibuat pada Selasa.

"Berdasarkan penyelesaian penuh yang telah dibuat, tiada dakwa dakwi selepas ini antara kedua-dua belah pihak termasuk kes sivil iaitu perintah injunksi terhadap Ira.

ira1 - 1

Azmi ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Rabu.

"Saya tidak boleh komen banyak berkenaan perkara ini tetapi apa yang saya boleh kata... tiada dakwa-dakwi antara kedua-duanya, semuanya telah diselesaikan dengan baik dan muktamad.

"Injunksi itu pun berkuatkuasa sehingga kes cerai dan nusyuz diputuskan dan InsyaAllah semuanya sudah selesai," katanya kepada pemberita.

Azmi ditemui selepas prosiding lafaz cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ira Kazar, keluarga berdepan saman hina mahkamah kerana ganggu dan kahwin tanpa izin

ARTIKEL BERKAITAN: Syamsul setuju tunai nafkah anak RM6,000 sebulan, bayaran edah RM15,000 kepada Puteri Sarah

Dalam pada itu, Azmi memaklumkan Syamsul dan Puteri Sarah perlu hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk merekodkan perjanjian yang telah dibuat oleh mereka pada Selasa.

Azmi berkata, prosiding yang berlangsung pada Rabu hanya berkaitan kes di Mahkamah Rendah iaitu lafaz cerai dan tuntutan nafkah.

"Semua kes melibatkan Syamsul dan Puteri Sarah sudah berakhir cuma kami perlu ke Mahkamah Tinggi untuk merekodkan berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani pada 13 Jun.

Tiada dakwa-dakwi antara kedua-duanya, semuanya telah diselesaikan dengan baik dan muktamad.

AZMI RAIS

PEGUAM SYARIE

"Alhamdulillah, selesai. Pada hari ini (Rabu) di bawah kuasa Mahkamah Rendah iaitu berkaitan nafkah edah dan nafkah anak," ujarnya.

Sementara itu, Puteri Sarah ketika ditemui media enggan mengulas lanjut mengenai kes saman yang difailkan terhadap wanita terbabit sebelum ini.

“Tiada komen, mengenai kes itu saya tak boleh dedahkan lebih lanjut,” jawabnya ringkas.

Terdahulu, Syamsul melafazkan cerai talak satu terhadap Puteri Sarah di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas dan sesi itu berlangsung secara tertutup kira-kira pukul 12.25 tengah hari.

sarah1 - 1

Syamsul melafazkan talak satu terhadap Puteri Sarah.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Sebelum ini, Puteri Sarah memfailkan tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap Ira dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Ira.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sudah pun menetapkan tarikh perbicaraan kes saman terhadap Ira pada 25, 28 dan 29 Ogos depan.

Pada Januari lalu, Puteri Sarah Liyana atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin, 38, memfailkan saman injunksi terhadap keluarga pelakon Kazar Saisi kerana didakwa telah melanggar perintah mahkamah.

Menurut peguam syarie mewakili Puteri Sarah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader, sebelum itu anak guamnya telah menghantar surat amaran kepada keluarga Kazar, namun mereka sekali lagi melanggar dan menganggu defendan.

ira2 - 1

Puteri Sarah dan Syamsul capai kata sepakat.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah, 38, bernikah pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5 tahun.

Kemelut rumah tangga mereka berlarutan selepas Syamsul enggan melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah pada 18 April lalu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul membuat kejutan mengumumkan dia sudah bernikah dengan Ira atau Faghirah Fatini Kazaruddin, 28, di Thailand.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain