suria

[V] Sheila luah hasrat kembali ke Bukit Aman, mahu banteras jenayah - “Saya manusia biasa ada kelemahan”

INSPEKTOR Sheila meluahkan hasrat untuk kembali menyambung tugasnya sebagai pegawai kanan polis setelah digantung tugas pada 19 Jun lalu.

Sheila atau S. Sheila Sharon, 35, berkata, dia mahu kembali berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membanteras jenayah dalam kalangan masyarakat.

"Kalau dengan izin Tuhan, saya ingin bertugas semula sebagai pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta berkhidmat untuk masyarakat bagi membanteras jenayah," katanya kepada pemberita.

Sheila ditemui selepas sebutan semula kes jenayah melibatkannya di Mahkamah Majistret Selayang pada pagi Isnin.

insp sheila 2

Sheila didakwa atas tiga pertuduhan jenayah di Mahkamah Majistret Selayang.

Dalam pada itu, Sheila berharap masyarakat tidak memandang serong terhadapnya berhubung kontroversi melibatkan dia sebelum ini.

Sheila berkata, dia hanya manusia biasa yang tidak terlepas daripada membuat kesilapan dan berharap masih ada sinar buatnya selepas ini.

"Saya pun manusia biasa ada kekurangan serta kelemahan... Kalau diikutkan dengan kelayakan saya ini, saya boleh berkhidmat di luar negara tapi saya pilih berkhidmat sebagai polis demi mencurahkan jasa buat masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Inspektor Sheila mengaku tidak bersalah mengugut, aib kehormatan orang awam

ARTIKEL BERKAITAN: Inspektor Sheila ajak Iqbal berlakon filem Tamil, terpegun tengok pakai baju pengantin India... Shah Rukh Khan pun kalah

"Saya harap masyarakat jangan salah faham dan tahu niat saya yang sebenarnya," ujarnya.

Pada sebutan kes yang berlangsung Isnin, Timbalan Pendakwaraya Raja Anis Farhah Ahmad Hilmi dan Erneetha Kaur Beghwant Singh menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes.

Bagaimanapun dokumen berkaitan rakaman video masih belum diserahkan kepada mahkamah.

insp sheila 3

Sheila mahu kembali ke Bukit Aman.

Susulan itu, Majistret Nur Hafizah Rajuni dan Chai Guan Hock menetapkan 22 Ogos ini bagi sebutan semula kes.

Pada 26 Jun lalu, Sheila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang dengan tiga pertuduhan jenayah iaitu dua di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sheila didakwa atas tiga pertuduhan mengugut dan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal dan dua orang awam.

Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain