suria

Bimbang timbul fitnah, Ruhil Amani akhirnya mengaku sudah bercerai sejak 2019

Ruhil Amani akui sudah berpisah dengan suaminya sejak tahun 2019.

PENYANYI Ruhil Amani akhirnya mengesahkan dia sudah bercerai dengan suaminya iaitu Jamil Wilson sejak Mei 2019.

Ruhil atau Ruhil Amani Hussin, 48, memberitahu dia terpaksa menyorokkan berita berkenaan kerana sebagai ibu dia bertanggungjawab untuk melindungi anaknya iaitu Ariana yang ketika itu baru berusia 15 tahun dan Raayan, 8.

Kata Ruhil, tumpuannya ketika itu adalah untuk memastikan mereka berdua dapat menyesuaikan diri dengan situasi kehidupan yang baharu serta bagi mengelakkan sebarang salah faham yang boleh menimbulkan fitnah.

Ruhil 2

Ruhil Amani bersama dua anaknya.

"Assalamualaikum buat kawan semua. Di sini saya ingin memaklumkan dan mengesahkan yang saya dan juga bekas suami saya sudah bercerai pada tanggal Mei, 2019.

"Sebelum ini saya mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan pada kawan semua kerana sebagai seorang ibu, tanggungjawab dan keutamaan saya adalah untuk melindungi anak saya Ariana yang akan menduduki peperiksaan penting IGCSE dan Raayan yang baru sahaja berusia lebih kurang 8 tahun," katanya.

Ruhil mendedahkan mengenai perkara itu dalam satu hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Tambah Ruhil, dia terbuka untuk memaklumkan perceraiannya setelah berbincang dengan anak-anak selain isu berkenaan sudah mendapat perhatian ramai.

Saya dan juga bekas suami saya sudah bercerai pada tanggal Mei, 2019

RUHIL AMANI

PENYANYI

"Tujuan saya memberi kenyataan pada hari ini kerana untuk mengelakkan sebarang tanda tanya dan salah faham yang boleh menimbulkan fitnah," ujarnya.

Ruhil bagaimanapun enggan mendedahkan punca dia dan suami bercerai.

Dalam masa sama, dia reda dan menerima takdir serta percaturan hidup yang diaturkan ini dengan hati terbuka.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada sebab kunci mulut, Ruhil Amani belum sedia jawab status perkahwinan... Buat ‘comeback’ selepas 17 tahun menyepi

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Ruhil Amani, Meninggal Dunia Akibat Jangkitan Kuman

"Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan keluarga dan teman rapat, saya dan anak-anak dapat menyesuaikan diri, meneruskan kehidupan dan bahagia dengan fasa kehidupan kami yang baru.

"Saya juga sangat bersyukur kerana dianugerahkan oleh Allah SWT anak-anak yang baik, kuat dan matang dari usia mereka," katanya.

Untuk rekod, Ruhil sebelum ini enggan mendedahkan status perkahwinannya apabila terdapat beberapa dakwaan bahawa mereka tidak lagi bersama.

Ruhil telah berkahwin bersama Jamil yang merupakan seorang pemuzik pada 2003 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ruhil Ariana Wilson,19 dan Raayan Alexander Wildon, 12.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain