suria

Bekas penyampai radio bebas selepas 5 tahun penjara, Yob Aziz terkenang sakitnya hukuman sebat

Aziz kongsi kisah terima hukuman enam kali sebatan.

SELESAI menjalani hukuman penjara pada 4 September lalu bagaikan satu peluang hidup semula buat bekas penyampai radio Perak FM, Yob Aziz.

Kata Aziz atau Abdul Aziz Mohamed Desa, 53, peluang itu akan digunakan sebagai menebus kembali tempoh lima tahun ketiadaannya bersama keluarga tercinta.

Malah Aziz juga tidak dapat menahan air mata saat mengenang hari pertama dia kembali melihat dunia luar ketika dibebaskan.

yob aziz 3

Aziz mahu gunakan peluang kedua untuk membalas jasa keluarga.

"Malam sebelum dibebaskan, saya memang tidak boleh tidur. Masa berjalan bagaikan terlalu perlahan dan saya sentiasa meninjau luar menunggu waktu Subuh.

"Selesai solat subuh terakhir di penjara, saya berdoa agar tidak lagi kembali ke sini (penjara). Namun sekiranya terjadi, saya reda dan bermohon ia untuk menjadikan saya lebih baik.

"Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika melihat isteri dan anak yang menyambut di pintu utama penjara. Air mata saya tidak berhenti menangis. Memeluk mereka adalah satu nikmat yang saya tunggu selama lima tahun," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Ameng imbau berbaris telanjang kena 10 sebatan, tangan dan kepala dipasung - “Kalau gajah pun lari”

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas tolak segala cuti, Mohamed Ya'acob akhirnya bebas bermula hari ini akibat bunuh Along Spoon

Pada 2018, Aziz dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun dan enam kali sebatan atas tuduhan memiliki senjata api.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 selain satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki tujuh butir peluru.

Aziz bagaimanapun hanya menjalani hukuman penjara di Pusat Koreksional Perlis selama lima tahun selepas mengambil kira tempoh cuti umum secara keseluruhan.

Sepanjang dalam penjara juga ia banyak mengajar saya untuk menjadi orang yang lebih baik

YOB AZIZ

BEKAS PENYAMPAI RADIO

"Sakitnya kena sebatan itu rasanya tak boleh dibayangkan. Kalau saya boleh gambarkan, seperti lembu yang kena ikat di tiang elektrik, pasti akan naik sampai atas setiap kali kena sebat.

"Saya ambil tempoh tiga minggu untuk pulih semula dari kesan sebatan termasuk bahagian yang berdarah. Apabila nama kita dah dipanggil untuk hukuman sebat, apa lagi boleh buat? Serah punggung sahajalah.

"Sepanjang dalam penjara juga ia banyak mengajar saya untuk menjadi orang yang lebih baik. Itulah tujuan hukuman penjara supaya banduan tidak lagi kembali melakukan kesalahan lama," ceritanya.

yob aziz 1

Aziz kini aktif sebagai penyampai untuk siaran Cayor FM.

Tidak mahu lagu menoleh ke belakang, Aziz kini memulakan semula kerjaya sebagai penyampai radio Cayor FM yang diusahakan sendiri bersama rakan baiknya.

Meskipun ia hanya bersiaran di platform media sosial dan studio pula hanya menggunakan sebuah bilik tidur kecil, namun ini adalah cara untuk dia membuktikan bekas banduan juga boleh kembali memulakan hidup baharu.

Aziz juga akui bukan mudah untuk dia mendapat peluang pekerjaan dengan mana-mana syarikat kerana statusnya sebagai bekas banduan.

"Bagi saya tidak perlu ambil peduli apa yang orang keliling katakan. Apa yang penting adalah usaha untuk berubah dan saya cari rezeki sendiri tanpa susahkan orang lain.

"Nak cari kerja bukan mudah sebab tidak semua yang terima bekas banduan. Saya sentiasa percaya kepada rezeki Allah dan apa yang dikurniakan sekarang ini digunakan sebaik mungkin," ujar.

Aziz sebelum ini pernah berkhidmat bersama Perak FM bermula 2007 sehingga dia ditahan atas kesalahan yang dilakukan.

Dia juga pernah bertugas di stesen radio THR pada tahun 2002 hingga 2006.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain