PENYANYI rap dan aktivis sosial Caprice tampil membuat permohonan maaf kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan menggunakan kata kesat terhadap pegawai kanan polis yang terbabit dengan kematian seorang pelajar pada 15 Disember lalu. Caprice atau Ariz Ramli, 35, menjelaskan kenyataan yang dibuat tidak merujuk kepada seluruh anggota PDRM sebaliknya hanya ditujukan kepada suspek kes berkenaan. "Cap (panggilan Caprice) nak minta maaf kalau ada sesiapa daripada pasukan biru (PDRM) yang terasa dengan apa yang dikatakan saya sebelum ini. "Ayat-ayat yang digunakan di media sosial adalah khas ditujukan kepada seorang sahaja dan sebenarnya kita kena sama-sama cari jalan untuk sentiasa jaga, melindungi dan menjunjung lencana keramat PDRM," katanya. Perkongsian Caprice yang dimuat naik di Instastory miliknya. Caprice berkongsi permohonan maaf itu menerusi hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya pada Jumaat. Dalam pada itu, Caprice memberitahu dia menghormati pendapat Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Razarudin Husain yang sebelum ini menekankan tentang integriti dan kedaulatan undang-undang. Penyanyi tersebut turut berharap dapat sama-sama membela nasib rakyat yang dizalimi. ARTIKEL BERKAITAN: Label pegawai kanan polis guna kata-kata kesat, Caprice dipanggil ke IPD Dang Wangi ARTIKEL BERKAITAN: Calon SPM maut dilanggar, pegawai kanan PDRM ditahan "Cap hormat dan hargai pendapat Tan Sri KPN yang sendiri menekankan tentang kepentingan integriti dan kedaulatan undang-undang negara. "Terima kasih tentang kebijaksanaan anda dan insya-Allah kita sama-sama boleh membantu serta membela rakyat Malaysia yang dianiaya," ujarnya. Pada Khamis, Caprice hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan tindakannya memuat naik video reaksi berhubung insiden itu di media sosial miliknya. Menerusi perkongsian video dibuat, Caprice menggelarkan anggota polis berkenaan menggunakan kata-kata kesat. Dalam kejadian itu, mangsa Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, maut selepas didakwa dilanggar seorang pegawai kanan polis berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh. Sebelum kejadian, konflik dikatakan tercetus antara mangsa dan suspek susulan tindakan remaja tersebut membuat bunyi bising menggunakan ekzos motosikalnya. Hasil bedah siasat mendapati Allahyarham meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian dada dan abdomen. Caprice mahu sama-sama membela nasib rakyat yang dizalimi. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar, Ipoh. Sementara itu, pegawai polis kanan tersebut, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang berpangkat Deputi Superintendan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin lalu atas tuduhan membunuh. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi. Mahkamah menetapkan 7 Februari 2024 bagi sebutan semula kes. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!