PENDAKWAH bebas Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee menyelar pandangan yang diutarakan oleh pelakon Datuk Rosyam Nor mengenai kepentingan membenarkan pusat pelacuran beroperasi di negara ini. Menganggap ia sebagai satu cadangan bodoh, Ridhuan atau Mohd Ridhuan Tee Abdullah, 59, berkata perkara itu sebenarnya lebih menggalakkan aktiviti tidak bermoral. "Ini bukan penyelesaian, ini cadangan yang teramat bodoh. Saya syorkan kepada mereka ini pergilah mengaji. Jangan jadi artis jahil. Rosyam secara terbuka mencadangkan rumah pelacuran dibenarkan beroperasi di Malaysia. "Setiap masalah ada jalan penyelesaian. Bukan cara maksiat atas maksiat. Ia tidak akan menyelesaikan, malah menambah masalah. "Apakah kita mahu Kuala Lumpur menjadi seperti Hatyai yang terkenal sebagai pusat maksiat," katanya. Bagi Ridhuan setiap fahaman agama sudah diajar tentang cara mengawal nafsu bagi mengelakkan berlaku perbuatan maksiat. ARTIKEL BERKAITAN: Rumah pelacuran perlu ada lelaki asing boleh lepas nafsu, elak rakyat tempatan kena rogol - Rosyam Nor ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan la batal saat akhir” - Ridhuan Tee antara penggerak Forum Perdana, kini ‘direhatkan’ daripada muncul di RTM Dalam masa sama, dia turut meluahkan kebimbangan sekiranya aktiviti pelacuran yang dicadangkan itu juga memberi kesan kepada rakyat Malaysia sehingga berlakunya penularan penyakit berjangkit. "Setiap agama dan bangsa sudah ada jalan penyelesaian masing-masing. Galilah dan koreklah jalan penyelesaian mereka. Jangan cakap sahaja sehingga nampak kebodohan diri. "Saya yakin, jika cadangan ini diterima, ramai jadi pelacur nanti adalah anak-anak kita, bukan dari kalangan pekerja asing. "Ini belum termasuk lagi masalah penyakit yang akan ditimbulkan seperti HIV AIDS dan sebagainya. Orang yang bercakap ini, cara berfikir dia amat pendek. Tidak layak diikuti, meskipun datang daripada orang yang berpengaruh," jelasnya. Ridhuan yakin operasi rumah pelacuran lebih mendatangkan kesan buruk. Dalam pada itu, Ridhuan juga mencadangkan amalan gaya hidup sihat supaya pemikiran seseorang tidak hanya terdorong melakukan hubungan seks sebagai salah satu cara pemuas nafsu. Baginya, mana-mana warga asing yang datang ke negara ini perlu patuh dengan penetapan undang-undang serta menghormati budaya dan cara hidup masyarakat tempatan. Sebelum ini, pandangan Rosyam mengenai perlunya aktiviti pelacuran di negara mencetuskan kontroversi sehingga menimbulkan perbalahan dalam kalangan netizen di media sosial. Ia perlu susulan lambakan warga asing lelaki di negara ini sehingga timpul isu jenayah rogol melibatkan golongan berkenaan. Rosyam berkongsi pendapat itu menerusi siri podcast Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik di TikTok Suhan Movies pada Ahad lalu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!