TINDAKAN pelakon Ruhainies tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Bella Astillah mengundang pelbagai reaksi netizen. Rata-ratanya menyelar kenyataan dikeluarkan oleh Ruhainies yang disifatkan sudah terlambat selepas segala rahsia terbongkar di media sosial. Malah, ada netizen menasihati supaya Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, lebih tegas dan tidak menerima permohonan maaf pelakon drama Terjerat itu. Menerusi perkongsian terbaharu Bella di Instagram, peminat meninggalkan komen meminta isteri Aliff Aziz agar tidak mengikut permintaan Ruhainies yang mahu bertemu dirinya. Antara nasihat yang ditinggalkan netizen untuk Bella. "Jangan galak nak jumpa ya, jaga standard awak tak perlu perjumpaan bagai. "Bella duduk diam-diam jangan jumpa sana. Dia tak ikhlas minta maaf. "Dia orang banyak rancangan Bella, jangan mudah kau terpedaya," antara komen netizen. Sebelum itu, Bella menerusi Instagram berkongsi foto berbaju kurung berwarna biru dan bertudung di hari Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: Ruhainies tampil buat permohonan maaf, mahu bersemuka dengan Bella Astillah dan Sarah Yasmine ARTIKEL BERKAITAN: Padam semua foto dan video di grup Telegram, Caprice dan Bella Astillah berdamai "Salam Jumaat," tulisnya di ruangan kapsyen. Turut mencuri perhatian apabila kekasih gelap Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine turut meninggalkan komen memuji kecantikan Bella. Pada pagi Jumaat, Ruhainies tampil membuat permohonan maaf terhadap Bella Astillah secara terbuka dan berharap dapat bertentang mata dengan Bella dan Sarah bagi menjernihkan keadaan agar semua perkara berbangkit dapat diselesaikan. Pada 9 Mac lalu, nama Ruhainies hangat diperkatakan selepas dia dan Aliff dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara. Kemelut Bella, Ruhainies, Aliff dan Sarah masih belum ada penghujung. Susulan kejadian tersebut, Bella mengambil keputusan memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac namun aktor itu enggan menceraikannya. Aliff memberitahu mahkamah dia masih sayangkan Bella dan mahu mempertahankan rumah tangga mereka. Isu di antara mereka semakin rumit apabila Sarah muncul mendedahkan dia adalah kekasih Aliff sejak Januari lalu dan mendedahkan pelbagai tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai di antara Aliff dan Ruhainies yang dinamakan sebagai NRF. Pendedahan itu membuatkan ramai bengang dengan Ruhainies selain isu itu turut mengaitkan beberapa selebriti lain seperti Emma Maembong, Chacha Maembong dan Caprice. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!