suria

[V] Perkahwinan 18 tahun berakhir, Hisyam Hamid umum sudah berpisah dengan isteri

Hisyam dan isteri sependapat berpisah adalah jalan terbaik.

SELEPAS hampir 20 tahun melayari alam rumah tangga, pelakon Hisyam Hamid akhirnya mengakui dia dan Rosmawati Hanafi sudah tidak lagi bergelar suami dan isteri.

Hisyam, 39, bagaimanapun enggan mendedahkan punca dan tarikh sebenar perceraian mereka namun menegaskan masih mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri.

"Saya tidak mahu oleh kerana satu detik hitam yang berlaku antara kami memusnahkan hubungan ini.

size NP 1 - 2024-05-23T165552.361

Hisyam dan isteri sepakat memilih jalan untuk berpisah secara baik.

"Buat masa ini kami rasa jalan yang terbaik adalah untuk kami tidak lagi menjadi suami isteri.

"Kami hanya mahu fokus mara ke depan. Masing-masing sudah pun membawa haluan sendiri. Apa paling penting, kami sama-sama ada tanggungjawab terhadap anak-anak dan mereka juga berada di bawah penjagaan saya," katanya kepada mStar.

Hisyam berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam pada itu, Hisyam memberitahu kerjaya seninya masih diuruskan oleh Rosmawati atau lebih dikenali sebagai Mel dan mereka tetap mengekalkan komunikasi yang baik.

ARTIKEL BERKAITAN : [V] Hisyam Hamid perlu jaga hati anak-anak, belum sedia kongsi status rumah tangga

ARTIKEL BERKAITAN : Hisyam Hamid enggan lakon babak sensitif, bayar mahal pun tak sanggup... “Saya nak tidur dengan tenang”

Menurut Hisyam, dia menghormati dan menghargai bekas isteri kerana mengenangkan pengorbanan Rosmawati dalam melahirkan anak-anak mereka.

"Tak ada yang salah atau negatif untuk kami teruskan demi anak-anak. Apa yang berlaku sudah berlaku. Buat masa ini kami selesa berkawan baik, lebih dari itu saya tak pasti, masa yang akan menentukan.

"Pada akhirnya dia adalah ibu kepada anak-anak saya. Hampir 20 tahun kami bersama, tidak semuanya buruk dan negatif. Banyak benda positif yang kami lalui.

"Dia melahirkan dua anak saya, itu adalah satu pengorbanan besar. Momen itu saya hargai dan hormat dia,” ujarnya.

Buat masa ini kami rasa jalan yang terbaik adalah untuk kami tidak lagi menjadi suami isteri.

HISYAM HAMID

PELAKON

Ditanya mengapa masih berdolak-dalih apabila ditanya mengenai status rumah tangga mereka sebelum ini, pelakon drama Ariana Rose itu memberitahu dia tidak mahu berita tersebut menjejaskan emosi anak-anaknya.

"Sejak dulu, apa sahaja yang saya buat, saya akan pastikan tidak ada kontroversi yang menjejaskan anak-anak saya, saya mahu beri contoh terbaik pada mereka.

"Begitu jugalah bila hal ini ditanya, saya tidak mahu pada akhirnya berita itu memberi kesan pada mereka atau mereka tahu dari sumber lain,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Hisyam pernah menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa dia dan isteri sudah bercerai.

size NP 1 - 2024-05-23T165431.314

Hisyam tidak mahu emosi anak terganggu.

Kata Hisyam, dia mengambil pendekatan untuk menjaga nilai eksklusiviti dengan tidak terlalu berkongsi kisah peribadi di media sosial.

Untuk rekod, Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Rosmawati pada 2006.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain