suria

[V] Sudah cuba selesai cara baik, suami Elisya Sandha fail tuntutan RM808,260 terhadap syarikat Wak Doyok

SUAMI pelakon Elisya Sandha memfailkan tuntutan sebanyak RM808,260 terhadap personaliti media terkenal Wak Doyok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 28 Januari lalu.

Uzair Haqimy Azman, 29, mendakwa syarikat milik Wak Doyok iaitu WD Food Group Sdn Bhd melanggar perjanjian pembayaran sewa kenderaan daripada syarikatnya iaitu LXM Resources yang menyediakan perkhidmatan logistik.

Pihak Wak Doyok selaku defendan didakwa melanggar dua perjanjian iaitu pada 22 Disember 2023 dan 21 Jun 2024 yang setiap satu daripadanya bagi tempoh 24 bulan.

"Pihak WD Food membuat pembayaran awal tetapi mereka gagal menyelesaikan pembayaran tertunggak bagi kedua-dua perjanjian.

Uzair bersama isterinya iaitu Elisya Sandha dan peguamnya Ismail Mohammed Ariffin (kiri).

"Kami sudah berusaha menyelesaikan perkara ini secara baik dengan memberi peluang kepada defendan membuat pembayaran sebelum tindakan guaman difailkan namun mereka gagal mematuhi tuntutan tersebut.

"Maka kami terpaksa membawa perkara ini ke peringkat mahkamah selepas tiada tindak balas daripada mereka selepas notis diserahkan pada Disember tahun lalu," katanya kepada mStar.

Uzair berkongsi perkara itu ketika sidang media berhubung isu berkenaan yang diadakan pada petang Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakan perniagaan saman Wak Doyok kerana pecah amanah, tuduhan rugi RM3 juta kerana ditipu bersifat subjudis

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Proses mediasi tak dapat kerjasama baik Wak Doyok, rakan perniagaan tidak pernah janji pulangan RM3 juta

Turut hadir pada sidang media itu peguam Uzair iaitu Ismail Mohamed Ariffin.

Dalam pada itu, Uzair berharap syarikatnya mendapat menuntut keadilan apabila memfailkan tuntutan tersebut terhadap defendan.

Kata Uzair, selain kerugian besar dia turut berdepan kesukaran menstabilkan kembali kewangan syarikat.

Uzair sudah cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan baik namun gagal.

"Saya harapkan keadilan untuk syarikat sebab sudah tentu kami terkesan dengan apa yang berlaku.

"Nak kata sudah kembali stabil pun tidak juga tapi kami cuba uruskan perniagaan dengan baik," jelasnya.

Sementara itu, Ismail menjelaskan tuntutan RM808,260 itu termasuk penaliti kelewatan pembayaran yang merangkumi ganti rugi am, faedah sebanyak lima peratus setahun dan kos guaman.

Ismail turut memaklumkan, pengurusan kes juga sudah dilakukan pada Jumaat dan pihak defendan juga sudah melantik peguam mewakili syarikatnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain