suria

[V] Hafidz Roshdi lepas dan bebas kes pukul bekas isteri

PERBICARAAN selama dua tahun berakhir apabila mahkamah memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan pelakon Hafidz Roshdi berkaitan kes pukul bekas isterinya iaitu Nurul Shuhada.

Keputusan tersebut dibuat oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor selepas mendengar penghujahan kedua-dua belah pihak pada Selasa.

"Mahkamah dengan ini memerintahkan OKT (Orang Kena Tuduh) dilepaskan dan dibebaskan. Jaminan juga dikembalikan," katanya.

Hafidz bersama peguam (kiri) ketika hadir di mahkamah.

Semasa perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya iaitu Nur Azizah Muhamad meminta supaya kes tersebut dikategorikan sebagai dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Bagaimanapun peguam kepada Hafidz iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader meminta mahkamah mempertimbangkan supaya Hafidz dilepaskan dan dibebaskan.

"Saya dengan rendah diri memohon supaya Hafidz dapat dilepaskan dan dibebaskan kerana pengadu memang sudah tidak mempunyai hasrat meneruskan kes,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas isteri minta Hafidz Roshdi datang Australia jumpa anak, pesan selesaikan tunggakan nafkah

ARTIKEL BERKAITAN: Simpati dengan bekas suami, Nurul Shuhada yakin ada pihak cuba pengaruh Hafidz Roshdi

Sementara itu, Akberdin ketika ditemui media selepas perbicaraan menjelaskan ketidakhadiran Shuhada juga menjadi faktor kepada keputusan berkenaan.

"Alhamdulillah mahkamah beri perintah untuk bebaskan dan lepaskan Hafidz sebab pengadu tak hadir dan pendakwa raya beritahu pengadu tidak berhasrat untuk teruskan kes.

"Mahkamah dah bagi amaran terakhir untuk datang hari ini, tapi tidak datang juga.

"Mereka minta ‘discharge not amounting to acquittal’ (DNAA). Saya jawab demi keadilan kena bagi 'acquittal' (AND) sebab pengadu tak berminat, jadi buat apa nak gantung," ujarnya.

Hafidz luah rasa syukur kes mahkamah selesai.

Dalam pada itu, Hafidz pula meluahkan rasa lega dan bersyukur apabila kes yang menjejaskan namanya sebelum ini akhirnya selesai.

"Alhamdulillah sekarang saya lega dan bersyukur. Saya tidak mahu bermusuhan, hanya mahu selesai cara baik sahaja," katanya.

Untuk info, pada 13 Ogos lalu, mahkamah menetapkan perbicaraan kes pukul Hafidz diteruskan walaupun Shuhada telah menarik balik laporan terhadap tertuduh.

Shuhada menarik semula laporan tersebut pada 6 Julai lalu secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak.

Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk Shuhada atau Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 3.22 pagi pada 2 Mac 2023.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain