suria

'Larry Crowne' Sekadar Populariti Tom Hanks & Julia Roberts

Babak menyaksikan Larry Crowne (Tom Hanks) sedang berbual dengan Mercedes Tainot (Julia Roberts) dalam Larry Crowne.
Babak menyaksikan Larry Crowne (Tom Hanks) sedang berbual dengan Mercedes Tainot (Julia Roberts) dalam Larry Crowne.
Babak menyaksikan Larry Crowne (Tom Hanks) sedang berbual dengan Mercedes Tainot (Julia Roberts) dalam Larry Crowne.

PADA atas kertas, filem Larry Crowne (LC) tampak istimewa kerana ia memperlihatkan Tom Hanks menggalas empat peranan iaitu sebagai pelakon, pengarah, penulis dan penerbit.

Kali pertama dan terakhir situasi itu berlaku adalah pada 1996 menerusi pertaruhannya dalam filem That Thing You Do!.

Lima belas tahun berlalu, aktor kelahiran California, Amerika Syarikat ini kembali dengan sebuah karya yang dilihat mengujakan secara luarannya.

Gandingan Hanks dan aktres Julia Roberts memang cukup kuat untuk meraih perhatian. Namun, apakah benar kolaborasi ini berjaya menterjemahkan sebuah penceritaan yang berkesan? Atau sekadar umpan lazim untuk menjual filem?

Tiada sebarang pertikaian mengenai prestasi dua bintang itu tetapi jalinan mereka seakan 'umpuh' dek persembahan visual yang ringkas dan sederhana.

Walaupun jika diamati idea dan skrip nukilan Hanks dan Nia Vardalos ini sebenarnya memikat dan istimewa tetapi ia tidak diterjemahkan dengan baik dalam bentuk visual.

Filem ini seharusnya menjadi profil yang baik untuk karier seni Hanks tetapi ia gagal dicapai kerana kedangkalan naratif dan visualnya.

Seandainya Hanks cekap memanipulasi plot tersebut menjadi visual yang kompak, tepat dan ringkas, tentu LC menjadi sebuah filem yang tinggi nilainya.

Sepanjang durasi 1 jam 40 minit, tiada satu babak atau dialog khusus yang benar-benar mampu melekat dan meninggalkan kesan.

Komedi yang disulami lakonan bersahaja para pelakonnya mungkin mampu mengundang tawa atau paling tidak pun mengukir senyuman.

Bagaimanapun, elemen itu hanya bertahan sepanjang filem ini berputar di layar dan ia terus lupus selepas LC berakhir.

Penghasilan filem ini dengan 'menjual' nama Hanks dan Roberts adalah satu kaedah paling mudah dan cepat untuk mengaut keuntungan dan mengekalkan momentum jenama aktor itu di minda peminat seluruh dunia.

Namun, timbul pula persoalan apakah Hanks mampu untuk terus mengekalkan kilauan namanya dengan filem sebegini?

Atau percaturan itu sebenarnya bakal mengheret Hanks ke lembah kemunduran seperti nasib yang diterima oleh Nicholas Cage hari ini?

LC menyingkap kisah seorang veteran tentera laut bernama Larry Crowne (Tom Hanks) yang dipecat daripada kerja hanya kerana dia tidak berpendidikan tinggi dan majikannya berpendapat kekurangan itu akan menyekat peluang Larry untuk terus berkembang.

Dalam kebuntuan untuk mendapatkan pekerjaan baru serta hampir kehilangan pajakan rumah, jirannya Lamar (Cedric the Entertainer) mencadangkan agar Larry menyambung pengajian di peringkat kolej bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

Sejak bergelar pelajar di East Valley Community College, Larry menempuhi fasa baru hidupnya dan mula bersahabat dengan rakan-rakan yang terdiri daripada golongan muda-mudi.

Pada masa yang sama, hati Larry mula tertarik pada gurunya iaitu Mercedes Tainot (Julia Roberts) yang secara kebetulan turut berdepan kemelut rumah tangga.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain