KEMERIAHAN judul-judul filem adaptasi komik untuk musim ini terus dirancakkan dengan sajian terbaru berjudul Captain America: The First Avenger (CAFA).Selepas Green Hornet dan X-Men: First Class ditayangkan pada bulan lalu, kini tiba giliran filem yang diadaptasi daripada Marvel Comics ini pula menguji pasaran. Satu fakta positif yang tidak boleh disangkal adalah perjalanan filem ini agak mengujakan walaupun ia disulami mutu skrip yang lemah dan pembinaan karakter yang tidak utuh.Bagaimanapun, masih ada mesej yang menarik cuba dibiaskan menerusi CAFA. Ini kerana, ia bukan sekadar filem aksi yang cuba mengangkat keagungan Amerika Syarikat sebagai hero.Sebaliknya, ia adalah paparan simbolik keperwiraan yang dizahirkan dalam watak Steve Rogers/Captain America lakonan Chris Evans dan segerombolan tentera lain dalam menentang anasir kejahatan.Idea, konsep dan prinsip asas filem ini adalah ringkas, terus dan istimewa sebenarnya tetapi ia tidak diterjemahkan dalam bahasa filem yang berkesan.Jika dilihat kepada aspek lakonan pula, pemilihan barisan pelakon yang diamanahkan untuk memegang watak yang diberikan hanyalah sekadar pada tahap sederhana.Selain Chris Evans yang bertindak sebagai hero, mungkin hanya persembahan aktor veteran Tommy Lee Jones sebagai Col. Chester Phillips dan Stanley Tucci (Dr. Abraham Erskine) saja yang boleh diterima.Bagi yang senang dengan paparan filem Green Lantern lakonan Ryan Reynolds baru-baru ini, mungkin CAFA menepati selera anda.Namun, jika anda mengharapkan filem ini akan menjadi sebuah filem aksi yang pintar, jawapan itu mungkin sukar dikesan daripada filem arahan Joe Johnston ini.Kecemerlangan CAFA jelas tersandar pada paparan aksi yang diketengahkan. Saksikan saja babak cemas ketika Captain America menewaskan ejen Hydra dan musuh sekutu.Kecekapan Johnston memaparkan babak-babak aksi dengan syot-syot dan kesan khas yang seimbang memberikan impak lebih realistik. Sehinggakan ada ketikanya filem ini dilihat bukan seperti sebuah filem superhero tetapi filem epik yang gah pada aksinya.Ringkasnya, CAFA memaparkan kisah pada 1940-an pada era Perang Dunia Kedua dan hari ini.Seorang pemuda bernama Steve Rogers (Chris Evans) terlalu mengimpikan untuk menyertai pasukan tentera tetapi sering gagal terpilih kerana aspek fizikalnya yang kurus dan lemah.Namun, segalanya berubah apabila Steve terpilih untuk menyertai sebuah program eksperimen ketenteraan yang mentransformasikan dirinya kepada seorang askar bergelar Captain America.Bagai dilahirkan semula dengan fizikal baru yang sasa dan tinggi, Steve mula menggalas tanggungjawab dalam tentera bersama rakannya Bucky Barnes (Sebastian Stan) dan Peggy Carter (Hayley Atwell).Di bawah arahan Colonel Chester Phillips (Tommy Lee Jones), mereka berjuang memerangi organisasi jahat kendalian tentera Nazi Jerman, Hydra yang dipimpin oleh Red Skull (Hugo Weaving).FILEM: Captain America: The First AvengerARAHAN: Joe JohnstonLAKONAN: Chris Evans, Hugo Weaving, Tommy Lee Jones, Dominic Cooper, Hayley Atwell, Sebastian Stan, Neal McDonough, Stanley TucciGENRE: Aksi, pengembaraanDURASI: 2 jam 4 minitEDARAN: United International PicturesTAYANGAN: Bermula 28 Julai 2011