FILEM: Nasi Lemak 2.0 ARAHAN: Namewee PELAKON: Namewee, Karen Kong, Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam, Reshmonu, Kenny & Chee, Nadine Ann Thomas, Nur Fathia, Dennis Lau, Dian Sharlin, Pete Teo, Ho Yuhang dan Felixia Yeap. GENRE: Komedi, drama DURASI: 90 minit TERBITAN: Prodigee Media/UB Prodigee Entertainment TAYANGAN: 8 September 2011LUPAKAN mengenai apa juga kontroversi yang pernah dicetuskan oleh Namewee termasuklah dakwaan dia mempersendakan lagu Negaraku, sebaliknya berikan tumpuan terhadap karyanya berjudul Nasi Lemak 2.0. Dengan bajet tidak sampai RM 1 juta, usaha Namewee untuk menghasilkan sebuah filem yang baik ternyata berbaloi dengan lakonan mantap daripada barisan pelakonnya walaupun jika dilihat jalan ceritanya, ia sedikit longgar terutama dari segi idea yang cuba diketengahkan.Nasi Lemak 2.0 mengisahkan bagaimana pemilik sebuah restoran iaitu Chef Huang (lakonan Namewee) yang menghadapi detik paling sukar dalam perniagaan apabila dia gagal menyediakan makanan yang disukai oleh para pelanggannya.Walaupun begitu, dia mendapat perhatian penduduk setempat kerana sikapnya yang gemar membantu mereka dalam segala hal.Bagi meningkatkan perniagaan nasi lemaknya, Chef Huang terpaksa meminta bantuan daripada penjaja gerai bernama Kak Noor (Adibah Noor) yang akhirnya telah mengarahkan dia mengembara ke tiga lokasi berbeza bagi mempelajari asal-usul dan rahsia sebenar nasi lemak.Dalam usahanya itu Chef Huang berhadapan dengan pelbagai pengalaman baru sehingga mengubah persepsinya terhadap kehidupan.Selain Namewee dan Adibah Noor, Nasi Lemak 2.0 turut dilakonkan oleh Karen Kong, Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam, Reshmonu, Kenny & Chee, Nadine Ann Thomas, Nur Fathia, Dennis Lau, Dian Sharlin, Pete Teo, Ho Yuhang dan Felixia Yeap.Menyingkap mengenai aspek penceritaan filem ini, ia sedikit menyedihkan apabila jalan cerita dan plot yang ditonjolkan agak longgar sehingga penutup filem ini sudah boleh dijangka lebih awal sewaktu pertengahan cerita.Tidak keterlaluan dikatakan filem arahan Namewee ini banyak dipengaruhi oleh pengarah filem dan pelakon terkenal, Stephan Chow apabila ada beberapa adegan seolah-olah mempunyai persamaan dengan filem lakonan pelakon terkenal tersebut iaitu God of Cookery.Pun begitu, jika Namewee menggunakan plot yang lebih kuat dan sempurna, Nasi Lemak 2.0 diyakini boleh menjadi antara karya filem yang menonjolkan kepelbagaian rakyat majmuk di Malaysia dengan baik.Di sebalik itu, kekurangan bajet tidak menghalang teknik penggambaran yang agak kemas ditampilkan untuk keseluruhan filem ini.Menariknya mengenai Nasi Lemak 2.0, apabila kepelbagaian budaya turut diberi keutamaan apabila Namawee turut mengetengahkan pelbagai dialek antaranya Tio Ciu, Hokkien, Hakka, Mandarin, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Tamil menjadikan ia sebuah filem yang sesuai ditonton oleh semua golongan masyarakat sehingga berjaya membuatkan penonton ketawa.Lakonan hebat daripada semua pelakon yang sarat dengan unsur jenaka dapat juga dilihat dengan jelas apabila Namewee cuba menyampaikan mesej bersatu padu antara penduduk berbilang kaum di negara ini tanpa mengira fahaman politik.Kemunculan penyanyi terkenal, David Arumugan dan Kenny Chan yang popular dengan sitkom ‘Baba dan Nyonya’ pada tahun 1990-an cukup mencuit hati terutamanya apabila David yang begitu bersahaja ketika membawakan watak yang ditampilkan.Di dalam gelak ketawa menonton filem ini, Namewee secara tidak langsung telah menyuarakan mengenai sikap negatif segelintir masyarakat di Malaysia tidak kira bangsa.Jika ingin mengetahui apakah konsep 1Malaysia mengikut pemahaman pengarah dan penulis cerita ini, ia patut ditonton oleh semua kaum kerana Nasi Lemak 2.0 membawa banyak pengertian yang harus diberi keutamaan dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.Ia sebuah filem yang layak ditonton kerana ia bukan sahaja membawa kesedaran tentang apa yang berlaku tetapi juga memberi mesej yang sangat mendalam dan bermakna kepada semua penonton.