suria

Cowboys & Aliens, Filem Segar Dua Genre

Gandingan mantap aktor veteran Harrison Ford (kiri) dan Daniel Craig dalam Cowboys & Aliens.
Gandingan mantap aktor veteran Harrison Ford (kiri) dan Daniel Craig dalam Cowboys & Aliens.
Gandingan mantap aktor veteran Harrison Ford (kiri) dan Daniel Craig dalam Cowboys & Aliens.

FILEM: Cowboys & Aliens

ARAHAN: Jon Favreau

LAKONAN: Daniel Craig, Harrison Ford, Olivia Wilde, Sam Rockwell

GENRE: Aksi, ngeri, fiksyen sains

DURASI: 1 jam 59 minit

EDARAN: United International Pictures

TAYANGAN: Bermula 11 Ogos 2011

MUNGKIN tidak terjangkau di fikiran bagaimana sebuah filem yang memaparkan plot pertempuran antara masyarakat koboi di abad ke-19 dengan makhluk asing yang dilengkapi peralatan serba canggih mampu dizahirkan dengan berkesan di layar lebar.

Pada atas kertas, fakta itu cukup menawan untuk dibayangkan dan kebenarannya terbukti seusai menonton filem terbaru Cowboys and Aliens (CA) arahan Jon Favreau ini.

Adalah sesuatu yang cukup menarik untuk dihuraikan apabila paduan dua genre yang kedengaran canggung bersama ini menjadi sebuah filem yang menarik dan segar untuk ditonton.

Jujurnya, percantuman atau hibrid dua genre iaitu cerita koboi dan fiksyen sains yang diketengahkan itu ternyata luar biasa.

Bukan saja konsep filemnya berbeza, malah penawaran CA kepada audiens turut merangkumi pakej naratif, teknikal dan lakonan yang molek berpadu.

Malangnya, kecelaan CA pula dapat dihidu pada plot yang lemah, goyah dan tidak tersusun.

Bayangkanlah, betapa berkecamuknya persembahan filem ini apabila pelbagai persoalan dan teka-teki yang terkumpul hampir satu jam setengah filem berlangsung hanya dirungkaikan satu-persatu pada 20 minit terakhir.

Kekalutan itu sudahnya hanya menjejaskan keutuhan filem ini secara keseluruhannya.

Mujurlah, skripnya yang menarik, bersahaja dan mencuit hati itu diadunkan dengan aplikasi teknikal yang memberangsangkan.

Perhatikan saja syot-syot yang dipaparkan pada babak-babak penting terutamanya ketika pertempuran manusia dan mahkluk asing, babak-babak Daniel Craig dan Harrison Ford bersama di layar dan banyak lagi.

Selak pula aspek lakonan yang rata-ratanya dibarisi oleh para bintang Hollywood yang bukan saja gah pada nama tetapi berkesan dalam penterjemahan watak masing-masing.

Ikon James Bond, Daniel Craig membuktikan kredibilitinya sebagai aktor hebat apabila tampil dengan lagak dan gaya seorang koboi bernama Jake Lonergan yang mengalami amnesia dan tersadai di sebuah perkampungan.

Seteguh aksi Craig, bintang veteran Harrison Ford yang menggalas ketua di perkampungan Absolution iaitu Woodrow Dolarhyde juga tidak kurang hebatnya.

Bahkan, gabungan Craig yang bersahaja dan tenang dengan lagak Ford yang kasar dan lasak itu mencetuskan visual yang sensasi dan gah di layar.

Bagai melengkapi aspek itu, persembahan aktres Olivia Wilde sebagai Ella Swenson, Sam Rockwell (Doc) dan Paul Dano (Percy Dolarhyde) juga memikat tumpuan.

Oleh yang demikian, adalah tidak silap untuk mengatakan himpunan nama besar Hollywood baik daripada pasukan penerbitan sehinggalah para pelakonnya berjaya mencernakan sebuah naskhah yang efektif.

Pendekatan dan pembaharuan menerusi tema, skrip dan hiburan yang serba menjadi itu berhak dipuji.

CA yang diadaptasi daripada komik oleh Scott Mitchell Rosenberg dengan judul yang sama ini menyingkap kisah seorang lelaki yang hilang ingatan bernama Jake Lonergan tersadai di sebuah perkampungan koboi, Absolution di wilayah Arizona pada 1873.

Tanpa mengetahui identiti dan sebarang maklumat tentang dirinya, Lonergan sedar kehadirannya sebagai orang asing di perkampungan itu kurang disenangi oleh penduduk setempat.

Bagai sudah menjadi satu budaya hidup di situ, para penduduknya tidak bebas bergerak atau melakukan sesuka hati tanpa keizinan ketua di kawasan itu, Colonel Woodrow Dolarhyde (Harrison Ford).

Dalam kekalutan dan ketakutan yang dihadapi mereka, muncul pula masalah yang lebih besar apabila perkampungan itu diserang oleh sekumpulan makhluk asing. Lonergan yang pada awalnya tidak disenangi itu akhirnya menjadi penyelamat untuk memerangi ancaman tersebut.

Di pawagam bermula 18 Ogos 2011

Filem: Spy Kids 4: All The Time In The World (Inggeris)

Pengarah: Robert Rodriguez

Pelakon: Jessica Alba, Antonio Banderas, Danny Trejo, Jeremy Piven, Alexa Vega

Genre: Aksi, pengembaraan, komedi

*Juga dalam format 3D & 4D.

Filem: Legend Of A Rabbit (Kantonis)

Pengarah: Sun Yi Jun

Pelakon: Hanjin Tan, Kay Tse, Ekin Cheng, Teddy Robin

Genre: Aksi, animasi

Filem: Glee The 3D Concert Movie (Inggeris)

Pengarah: Kevin Tancharoen

Pelakon: Dianna Agron, Lea Michele, Cory Monteith, Chord Overstreet, Chris Colfer, Amber Riley

Genre: 3D, muzikal, dokumentari, konsert

Filem: Treasure Hunt (Kantonis)

Pengarah: Wong Jing

Pelakon: Cecilia Cheung, Ronald Cheng, Ekin Cheng, Lucas Tse

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

'RPA' Filem Beruk Terbaik

Artikel Lain