Rosyam Nor dalam salah satu babak dalam Libas.FILEM: Libas ARAHAN: Jurey Latiff Rosli LAKONAN: Rosyam Nor, Scha Alyahya, Johan Raja Lawak, Beego, Adam Corrie dan Fadzly Kamarulzaman. GENRE: Komedi, Aksi DURASI: 100 minit TERBITAN: MDAG Marketing Sdn. Bhd TAYANGAN: 29 September 2011FILEM yang mengangkat sukan khazanah warisan Melayu iaitu sepak takraw, Libas menyajikan sesuatu kelainan buat penonton filem tempatan. Filem lakonan Rosyam Nor dan Scha Al-Yahya sebagai teraju utama ini bukan sahaja sarat dengan mesej semangat kenegaraan dan kesukanan malah menyelitkan elemen komedi ringan melalui kombinasi hasil lakonan pelawak Johan (Raja Lawak) dibantu pendatang baru Fadzly Kamarulzaman.Plot cerita yang agak menarik dan kemas melalui sentuhan pengarah drama televisyen yang cuba diangkat ke layar lebar, Jurey Latif mampu memancing peminat-peminat filem tanah air.Filem yang menggunakan 60 peratus teknik imej janaan komputer (CGI) tanpa bantuan skrin hijau (green screen) ini merupakan percubaan berani Jurey untuk menyampaikan idea yang dipendam selama tujuh tahun lalu.Menurut Jurey, cabaran utama adalah berhadapan dengan teknik pengarahan yang bakal digarap dengan teknik CGI.“Selain berhadapan dengan bajet yang agak besar dan mengambil tempoh yang agak lama, saya juga berhadapan dengan teknik pengarahan baru iaitu bersama teknik CGI.“Jika tersilap percaturan ia akan menjadi tidak kemas dan palsu. Bayangkan saya perlu mengarah sesuatu yang tidak nampak, namun saya bersyukur mendapat barisan pelakon yang hebat dan profesional.“Saya berharap penonton dapat menerima hasil kerja dan memahami mesej yang ingin disampaikan dalam filem tersebut,” katanya yang mengakui masih banyak yang perlu dipelajari dalam dunia perfileman.Libas ditayangkan bermula pada 29 September lalu di seluruh pawagam tanah air mengisahkan sekumpulan anak muda dalam memperjuangkan sukan sepak takraw yang kononnya sudah lama dirampas rakyat Thailand.Ketua kumpulannya yang telah mengalami kecederaan teruk di kaki, Adnan Saladdin lakonan Rosyam dan jurulatihnya, lakonan Mohd Razib Salimin bertekad untuk kembali bertarung bagi merampas kembali maruah mereka.Bagaimanapun Raja Libas harus mencari pengganti bagi melengkapkan pasukannya.Adnan telah bertemu dengan Hamadi, lakonan Johan (Raja Lawak) yang ada kebolehan menimbang bola, Kumok lakonan bersahaja pendatang baru, Fadzly Kamarulzaman serta teman lamanya, Megat lakonan Beego.Namun, timbul pula pelbagai konflik lain yang membuatkan Libas lebih menarik dan berbeza berbanding karya-karya lain.Scha Jauh Lebih MudaBagi pelakon utama filem ini, Rosyam, ia sebagai batu loncatan yang mampu melonjakkan semula nama dan popularitinya dalam industri filem tempatan setelah filem terakhir lakonannya Kala Malam Bulan Mengambang, arahan Mamat Khalid menemui para peminat pada 2008.Dia juga menyifatkan Libas sebagai sebuah filem yang patut diberi perhatian kerana hasil kerjanya yang menarik dan berharap agar penonton dapat menilainya sendiri.“Setelah 20 tahun berlakon filem, ini merupakan filem pertama yang memerlukan saya bermain dengan imaginasi untuk membayangkan kedudukan bola yang diwujudkan dengan menggunakan CGI.“Antara cabaran ketika penggambaran apabila bahu kiri saya pernah patah gara-gara mahu melakukan aksi bermain sepak takraw.Selain itu, saya juga perlu bekerja keras untuk memastikan keserasian berlakon bersama Scha dapat dibentuk memandangkan ketika penggambaran filem ini dua tahun lalu, dia masih baru dan jauh lebih muda berbanding saya,” katanya.