suria

'In Time' Unik Tetapi Kurang Asli

Justin Timberlake sebagai Will Salas dalam filem In Time
Justin Timberlake sebagai Will Salas dalam filem In Time
Justin Timberlake sebagai Will Salas dalam filem In Time

PENDEKATAN yang diguna pakai dalam filem terbaru In Time adalah cukup menarik dan bijak.

Berlegar pada subjek masa dan nilai masa yang dianggap seperti mata wang itu, filem bergenre fiksyen sains dan ngeri ini memaparkan sebuah naskhah yang bukan hanya menghiburkan tetapi berada pada kelas tersendiri.

Dengan menggunakan masa sebagai subjek, pengarahnya Andrew Niccol yang pernah menghasilkan Gattaca dan The Truman Show sebelum ini, mengangkat subjek itu dan menjadikan ia satu hidangan filem yang merangsang pemikiran.

Fakta yang membangkitkan keterujaan adalah kebijaksanaan Niccol mengeksploitasi subjek masa dengan adunan elemen komersial sehingga menjadikan ia seperti paparan realiti di layar.

Pada aspek lakonan, dua teraju utama filem ini iaitu Justin Timberlake dan Amanda Seyfried dilihat menterjemahkan lakonan mereka dengan baik.

Timberlake, umpamanya sebagai hero bernama Will Salas, cekap mendominasi perwatakannya sebagai seorang pemuda biasa yang bertukar menjadi jutawan berstatus tinggi dalam sekelip mata.

Aksi memberangsangkan Timberlake meyakinkan menerusi mimik muka dan pertuturan yang bertepatan dengan karakter seseorang yang berada dalam kesempitan sanggup melakukan apa saja untuk melonjakkan taraf hidupnya.

Sekalipun ruang dan plot In Time kurang menyebelahi perkembangan watak Sylvia Weis (lakonan Amanda Seyfried), aktres itu dilihat tetap meyakinkan.

Dalam keterbatasan ruang itu, Seyfried masih mampu menonjolkan karakter kekasih Will Salas yang juga teman rompakan dengan baik dan licik.

Bagaimanapun, tumpuan telah diberikan kepada watak Will Salas, peralatan-peralatan (props) dan efek dalam filem ini sekaligus mengundang ketidakseimbangan pada penonjolan watak-watak lain.

Malah, paparan demi paparan dalam kebanyakan babak filem ini juga segera mengingatkan kita pada filem-filem tertentu yang sedikit sebanyak menggugatkan keaslian plotnya.

Sebagai contoh, jika diamati, pasti imbasan filem-filem seperti Logan’s Run, Bonnie and Clyde dan Robin Hood menyamai babak-babak tertentu dalam filem ini.

Bagaimanapun, secara peribadi, ia dilihat tidak mencemari debaran dan teka-teki yang cuba diketengahkan.

In Time berkisar tentang subjek masa yang diangkat sebagai mata wang terbaru pada masa hadapan.

Ia memaparkan kisah pemuda biasa dan kesempitan hidup iaitu Will Salas (lakonan Justin Timberlake) yang memburu impian untuk bergelar jutawan dan berstatus tinggi.

Will Salas yang membesar di kawasan miskin dan ‘hitam’ mempunyai impian untuk mengubah hidupnya sejak kecil lagi.

Bagaimanapun, impian dan isu masa yang menjadi perkara terpenting dan paling bernilai telah memaksa Salas terjerumus ke lembah jenayah.

Dengan kerjasama kekasihnya Sylvia Weis (Amanda Seyfried), mereka bergandingan dalam melakukan rompakan terhadap masa yang dimiliki oleh para hartawan.

Dalam filem ini, segala yang diperlukan adalah masa dan hanya yang kaya-raya dan berkemampuan saja yang dapat hidup selamanya.

Ia bukanlah sebuah karya agung tetapi subjek dan plot pertaruhannya yang unik pasti menjanjikan kelainan.

FILEM: In Time

ARAHAN: Andrew Niccol

LAKONAN: Justin Timberlake, Amanda Seyfried, Olivia Wilde, Alex Pettyfer, Cillian Murphy

GENRE: Fiksyen sains, ngeri

DURASI: 1 jam 51 minit

EDARAN: 20th Century Fox

TAYANGAN: Bermula 27 Oktober 2011

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain