suria

Fantasi 'MJL' Suntik Kelainan

ADA banyak sebab mengapa filem terbaru pengarah versatil, Afdlin Shauki iaitu Misteri Jalan Lama (MJL) layak disifatkan sebagai sebuah karya yang baik.

Ini kerana Afdlin dilihat berjaya menghidangkan sebuah filem yang segar bagi konteks perfileman Melayu menerusi adunan genre drama, misteri dan fantasi.

Seperkara yang menarik lagi adalah gaya pengolahan Afdlin menjadikan wajah dan rasa filem ini seperti sebuah filem antarabangsa.

Secara kolektifnya, plot dan perjalanan MJL tidak rumit atau berat tetapi garapan kemas dan tersendiri daripada Afdlin berjaya menimbulkan misteri dan teka-teki. Penelitian yang dipaparkan dengan penuh persoalan telah mengangkat filem ini ke satu tahap yang lebih baik daripada kebanyakan filem Melayu sedia ada.

Keberanian Afdlin yang turut bertindak sebagai penulis skrip filem ini untuk mengetengahkan sebuah plot tentang alam bunian dan dunia fantasi boleh diibaratkan sebagai penawaran alternatif bagi landskap filem Melayu yang tidak sudah-sudah disogokkan dengan kisah seram, komedi dan aksi.

Justeru, sekalipun MJL punya kepincangan, pertaruhan idea dan konsep filem sebegini wajar diberikan ruang dan peluang.

Berlayar seiring dengan perjalanan filem ini, kita mungkin dapat melihat sebuah filem Melayu yang segar daripada kelaziman.

Bayangan dan rasa sebuah filem fantasi khususnya dari Hollywood dapat dilihat daripada naratif dan wajah MJL.

Sekalipun, secara dasarnya idea untuk menghasilkan filem bercorak fantasi seperti Alice In Wonderland, Lord of The Rings atau yang seangkatan dengannya bukan sesuatu yang asing di pentas antarabangsa, tetapi penyerapan konsep tersebut untuk sebuah filem Melayu yang berbajet rendah ini adalah sesuatu yang membanggakan.

Dalam keterbatasan bajet dan kepakaran, setidak-tidaknya MJL berhasil seperti sebuah filem fantasi yang efektif.

Meskipun ia sedikit tercalar oleh aplikasi imej janaan berkomputer yang kasar dan rekaan kostum yang kurang berkesan dan sarat, kita mungkin boleh memaafkan aspek itu kerana ia menuntut kos dan kepakaran yang tinggi.

Sekurang-kurangnya, produksi filem ini telah mencuba sebaik mungkin untuk menghasilkan MJL pada tahap yang meyakinkan dengan kekangan itu.

Namun, yang menjadi pertikaian di sini adalah aspek momentum filem ini. Sebagai pengarah yang sudah biasa menghasilkan pelbagai filem sebelum ini, Afdlin sepatutnya mampu menggarap naratif filem ini dengan lebih baik.

Sayangnya, itu tidak berlaku dalam MJL, di mana momentumnya dirasakan perlahan dan membosankan, khususnya pada 15 minit pertama filem bermula. Malah, keadaan itu terus berulang dalam kebanyakan babak sepanjang durasi 1 jam 42 minit filem berputar di layar.

Momentum penceritaan yang tidak konsisten itu sedikit sebanyak merencatkan keterujaan dan tumpuan tontonan, sekaligus menjadi kelemahan terbesar filem ini.

Mujurlah, lakonan yang memberangsangkan oleh para pelakonnnya, tidak kiralah yang memegang peranan penting atau sekadar muncul untuk satu atau dua babak sahaja, mengukuhkan kembara MJL secara keseluruhannya.

Dalam hal ini, kreativiti dan penelitian Afdlin pada aspek lakon layar MJL harus dipuji.

Bahkan, ia sebenarnya cukup bertuah kerana disokong oleh para pelakon yang berkarisma. Lihat saja dua bintang utamanya iaitu Que Haidar sebagai Ilya dan Hans Isaac (Indra) yang menjadi nadi filem ini. Baik Hans mahupun Que, kedua-duanya saling memberikan lakonan yang berkesan.

Tanpa kelibat pelakon wanita sebagai teraju utama, dua hero ini bijak menggalas peranan sebagai adik-beradik itu dengan baik dan meyakinkan.

Hans umpamanya, telah menghidangkan mutu lakonan yang segar dan kesungguhan aktor itu membawa watak seorang abang yang sinis, antagonis tetapi dalam pada masa yang sama seorang penyayang adalah satu usaha yang wajar dipuji.

Perihal yang sama turut dikesan pada penterjemahan lakonan pelakon-pelakon lain seperti Datuk Ahmad Tamimi Siregar sebagai Iskandar, Vanidah Imran (Old Lady/Queen Dewata), Nasir Bilal Khan (King Dewata) dan Sabrina Hassan (Sara).

Selain aspek lakonan itu, apa yang lebih menarik tentang MJL adalah elemen hubungan persaudaraan dan kasih sayang seorang abang dan adik yang diselitkan dalam lapisan misteri dan fantasi filem ini.

Kembara MJL bermula dengan kisah dua beradik, Ilya (Que Haidar) dan Indra (Hans Isaac) yang menuju ke kampung halaman mereka untuk urusan pengebumian bapa mereka, Iskandar (Datuk Ahmad Tamimi Siregar) yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya.

Indra adalah anak kandung Iskandar yang menjadi pelumba kereta profesional tetapi kuat berjudi, sekaligus menjadikan dirinya mangsa buruan sekumpulan gangster.

Ilya pula adalah anak angkat Iskandar yang diberikan oleh seseorang ketika dia melalui sebatang jalan lama, kira-kira 25 tahun lalu.

Misteri dan teka-teki filem ini bermula pada hari kematian Iskandar, apabila buat pertama kalinya selepas 15 tahun, Indra yang membuang diri daripada keluarga kembali ke pejabat ayahnya untuk mengambil surat wasiat yang ditinggalkan.

Dalam surat itu, Indra diminta oleh bapanya untuk menghantar Ilya ke sebuah tempat. Ketika dalam perjalanan, mereka bukan sahaja diburu kumpulan gangster tersebut, malah turut tersasar ke sebuah dunia aneh.

FILEM: Misteri Jalan Lama

ARAHAN: Afdlin Shauki

LAKONAN: Que Haidar, Hans Isaac, Vanidah Imran, Nasir Bilal Khan

GENRE: Drama, pengembaraan, fantasi, misteri

DURASI: 1 jam 42 minit

EDARAN: Tayangan Unggul

TAYANGAN: Bermula 24 November 2011

Artikel Sebelum

Ombak Rindu Penuh Emosi

Artikel Berikut

Artikel Lain