Babak filem This Means War menyaksikan Tuck lakonan Tom Hardy (kiri) dan FDR (Chris Pine) berpura-pura tidak mengenali antara satu sama lain ketika bertembung di sebuah restoran membuatkan Lauren (Reese Witherspoon) kebingungan.SEPERKARA yang harus saya akui filem komedi romantik yang lincah berjudul This Means War ini memang sarat dengan nilai hiburan.Disalut kemas elemen aksi dan debaran, tempo filem ini sudah memuncak seawal babak pertama yang menyaksikan adegan tembak-menembak, aksi lagak ngeri dan letupan. Persepsi yang menjelma saat babak seperti itu dihidangkan depan layar, saya seakan sudah dapat membaca pola perjalanan filem ini - rancak, pantas, teruja tetapi kosong intipatinya.Sekalipun saya terhibur dengan dialog ringkas dan transisi cerita yang pantas dan lancar itu, masakan mungkin saya boleh pejam sebelah mata dengan kedangkalan plot filem arahan McG (pengarah Charlie’s Angels) ini.Cerita dua sahabat baik yang juga pegawai Agen Risikan Pusat (CIA) bernama FDR lakonan Chris Pine dan Tuck (Tom Hardy) jatuh hati pada wanita yang sama iaitu Lauren (Reese Witherspoon) sehingga mencetuskan konflik di antara mereka barangkali adalah plot yang klise.Hampir satu jam berlalu, sudah memadai bagi saya merumuskan filem ini hanyalah hiburan ringan yang mengasyikkan secara visual tetapi lompong isinya.Walau bayangan filem Mr. & Mrs. Smith lakonan duo Angelina Jolie dan Brad Pitt jelas terimbas pada filem ini, kita mampu bertolak-ansur dan menerima persamaan itu.Aksi yang silih berganti diadun dialog-dialog dangkal dan ringkas itu sebenarnya menjadikan This Means War sebuah hidangan yang mudah dihadam.Naratif dan kupasan ini juga boleh dianggap linear tanpa ada teka-tekinya. Ia bagai draf aksi yang terus mendaki dari awal hingga ke poin terakhir.Untuk momentum itu, saya hargai teknik yang dipersembahkan dalam mengekang tumpuan penonton untuk melekat di layar perak.Namun, tiga watak utamanya FDR, Tuck dan Lauren yang dibentuk berdasarkan karakter yang mudah dibaca itu menimbulkan suasana hambar.FDR umpamanya dibentuk untuk tampil dengan unsur kasanova manakala temannya Tuck (seorang duda) pula lebih tenang dan rasional. Kedua-dua perwatakan ini adalah stereotaip mengikut profil dan raut wajah dua pelakon.Whitherspoon yang memainkan watak wanita yang terdesak untuk mencari pasangan hidup pula digarap dalam acauan yang sering kali kita lihat dalam kebanyakan romantik komedi lain.Kalau bukan kerana kekuatan aksi dan rentak yang pantas, tentu This Means War gagal mencuri ruang tumpuan ekoran kekontangan idea dihamparkan.Ringkasnya, filem ini memaparkan kisah dua pegawai CIA yang berbahaya dan tidak boleh dipisahkan. Keadaan bertukar tegang apabila kedua-duanya mula jatuh hati pada wanita yang sama.Dalam persaingan FDR dan Tuck untuk memenangi hati Lauren, mereka mula menggunakan segala kemahiran dan peralatan canggih yang ada untuk menewaskan antara satu sama lain.Apakah kesudahan hubungan persahabatan ini? Siapakah akan memenangi hati Lauren atau kedua-duanya akan berputih mata? Jawapannya dalam This Means War.