Babak komedi yang kurang menjadi dalam filem Chantek lakonan Pierre Andre sebagai Ad (kanan) dan Nurul Ekasari selaku pembantu rumah bernama Chantek.KARYAWAN bergelar Pierre Andre ini sebenarnya seorang yang kreatif dan sarat dengan imaginasi dalam mencanai idea dan konsep filem yang menarik.Buat kesekian kalinya, kelebihan dan kurniaan bakat itu terus dipersembahkan anak muda ini dalam filem terbaru nukilan, arahan dan lakonannya berjudul Chantek. Saya kira kisah seorang pelakon terkenal bernama Ad (Pierre Andre) yang menjadikan pembantu rumah Indonesia bernama Chantek (Nurul Ekasari) sebagai bahan eksperimen untuk jatuh cinta bagi menghayati watak filem akan datangnya, adalah idea yang menarik dan unik.Malah, jika ia diterjemahkan sebaiknya dalam bahasa filem yang indah dan cermat, Chantek mampu menjadi naskhah yang mengagumkan.Sayangnya, Pierre masih lemah pada aspek olahan dan garapan, menjadikan filem ini terhasil serba sederhana.Kesederhanaan itu juga dikesan pada aspek lakonan dua teraju utama, Pierre Andre dan Nurul Ekasari.Seperkara yang perlu saya bentangkan, selepas melihat satu demi satu filem lakonan Pierre Andre, dia kekal stereotaip dan terperangkap dengan stail lakonan yang sama.Bukan tidak bagus cuma membosankan. Bagi filem ini, kebanyakan aksinya yang bertujuan untuk mencetuskan suasana komedi selamba dilihat kurang meyakinkan.Percubaan sulung pasangannya, aktres Indonesia yang cuba membina nama di Malaysia iaitu Nurul Ekasari pun tidak memukau.Selepas melihat lakonan aktres ini, timbul persoalan apa perlunya Pierre Andre terbang sejauh Indonesia jika pencariannya itu hanya mampu mempamerkan aksi yang sederhana?Jika faktor pasaran dan kesesuaian watak sebagai alasannya, saya tidak pula melihat faktor X atau tarikan pada pendatang baru ini mampu memancing penonton Indonesia memandang persaingan yang lebih sengit di sana.Bahkan, untuk hasil lakonan seperti itu, saya kira aktres tempatan sebenarnya berupaya memberikan penterjemahan yang lebih baik.Aksi Chew Kin Wah sebagai pengurus Ad iaitu Sam yang berwatakan lembut, pula bertaraf sederhana sahaja.Impak yang diharapkan daripada aktor berlatarbelakangkan pentas teater ini tidak sebesar mana.Pun begitu, di sebalik beberapa kekurangan tersebut, filem ini tetap menghiburkan. Skrip yang baik dan menarik memperlihatkan kematangan Pierre Andre sebagai penggiat seni.Diiringi pula alunan lagu-lagu latar yang bersesuaian dalam babak-babak filem ini, ia lebih merangsang suasana yang menarik pada visual.Cuma kalau Pierre Andre mampu melanjutkan beberapa babak penting yang menjadi nadi filem dan menyingkirkan bahagian yang meleret dan hambar, pasti Chantek akan memberikan impak ekstra.Babak Ad yang cuba memujuk Chantek dengan menyanyikan lagu retro Indonesia, Madu & Racun gagal memikat, meleret dan klise.Ini kerana, kita sudah banyak kali melihat teknik sebegini dalam filem, justeru apa yang diselitkan dalam Chantek tidak menjadi sesuatu yang segar atau kejutan.Lebih menjelekkan apabila kemunculan istimewa gitaris popular Man Kidal dalam lagu itu segera mengingatkan saya pada kemunculan gitaris Sweet Charity iaitu Rosli Mohalim dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid.Ada ketikanya juga, komedi yang disampaikan kelihatan tergantung, pelik dan tidak menjadi tetapi secara keseluruhannya filem ini lebih baik daripada naskhahnya sebelum ini, 9 September (2007).Mengisahkan tentang seorang aktor bernama Ad (Pierre) yang menjadi buta setelah dilanggar kereta sejurus terserempak tunangnya yang berlaku curang.Susulan kekecewaan itu, Ad memencilkan diri di rumah peranginan dengan dijaga oleh Chantek (Nurul Ekasari), seorang pembantu rumah perempuan dari Indonesia yang terpaksa menyamar sebagai lelaki untuk menenteramkan Ad yang masih fobia dengan perempuan.Lama-kelamaan Chantek terpaksa mendedahkan identiti sebenarnya kerana sudah tertawan dengan sikap dan kemesraan Ad.Mereka mula menjalin hubungan sehingga satu insiden berlaku dan memaksa mereka untuk berenggang.Jarak masa dan saat berjauhan itu membuatkan Ad tidak tentu arah dan kembali mencari Chantek.Dapatkah Ad meyakinkan semula hati Chantek setelah merasakan hatinya diperdaya? Jawapannya hanya ada dalam filem ini.