suria

Kehebatan & Nilai Persahabatan Dalam Star Trek Into Darkness

Star Trek Into Darkness.
Star Trek Into Darkness.
Star Trek Into Darkness.

Filem: Star Trek Into Darkness

Pelakon: Chris Pine, Zachary Quinto, Zoe Saldana, Karl Urban, John Cho, Benedict Cumberbatch, Alice Eve, Bruce Greenwood, Simon Pegg, Peter Weller, Anton Yelchin, dan Leonard Nimoy.

Pengarah: JJ Abrams

Durasi: 90 minit

Tayangan: 17 Mei 2013

PARA peminat Star Trek sama ada komik, siri televisyen atau pun filem yang pernah diterbitkan sebelum ini pasti akan teruja dengan filem terbaharu pengarah JJ Abrams iaitu Star Trek Into Darkness.

Pengarahnya, JJ Abrams yang turut bersama-sama menulis skrip filem berkenaan berjaya menterjemahkan kepada penonton isi filem berkenaan dengan baik selain menjalur setiap babak dengan kemas dan teratur.

Tidak mahu penonton menunggu lama, filem berkenaan bermula dengan pantas bagi menggambarkan kandungan ceritanya tanpa mengelirukan penonton terutamanya yang belum pernah menonton siri atau filem Star Trek sebelum ini.

Malah menerusi filem ini, Abrams memperlihatkan kehebatannya meletakkan imej yang kaya dengan keindahan buat penonton walaupun dalam cara yang agak pelik terutama di awal filem.

Malah gambarannya terhadap masa depan juga adalah diluar pemikiran dan penonton pasti terpesona dengan kredibiliti Abrams sebagai pengarah.

Menerusi filem ini juga Abrams turut menyelitkan pelbagai mesej seperti ikatan kekeluargaan, setiakawan dan pengorbanan dalam jalan ceritanya yang sarat dengan aksi mendebarkan.

Olahan Abrams menerusi watak-watak yang ditonjolkan dengan sentimen emosi yang dikongsi kepada penonton membuatkan karyanya itu cukup mengagumkan.

Bagaimanapun idea asalnya bukanlah sesuatu yang diluar kebiasaan kerana ia tentang perjalanan seorang wira yang bertarung bagi menyelamatkan bumi.

Jalan ceritanya juga berkembang daripada satu plot ke sub-plot yang lain dan dijalur dengan kemas membuatkan ia begitu menarik.

Star Trek Into Darkness mengisahkan mengenai konflik krew USS Enterprise apabila telah diserang oleh ibu pejabat Starfleet sehingga menyebabkan ketua mereka, Pike (Bruce Greenwood) tewas dalam serangan berkenaan.

Kematian Pike telah menyebabkan Kaptain James T. Kirk (Chris Pine) menyimpan dendam dan setelah mendapat kebenaran daripada pegawai atasannya Fleet Admiral Marcus, James dan krewnya telah pergi memburu Khan bagi menuntut bela atas kematian ketua mereka.

Hasil buruan Kaptain James dan krewnya mendatangkan hasil apabila Khan bersetuju untuk menyerah diri dan dibawa ke markas krew USS Enterprise untuk di soal siasat.

Menerusi filem ini juga krew USS Enterprise telah menerima seorang krew baru yang dikenali sebagai Carol Marcus lakonan Alice Eve.

Sewaktu melibatkan diri dalam krew tersebut, Carol telah memalsukan identiti sebenar dirinya dan perkara ini telah menimbulkan sedikit keraguan dalam diri Komander Spock (Zachary Quinto).

Seperti mana filem Star Trek terdahulu, kali ini Abrams turut memperkenalkan watak terbaharu iaitu John Harrison (Benedict Cumberbatch) yang pada dasarnya penonton tidak menyangka pengakhiran kepada peranan tersebut.

Dari segi lakonan pula, para pelakon kelihatan sangat yakin dalam menggambarkan peranan masing-masing dalam filem berkenaan.

Karl Urban sebagai Bones, Simon Pegg sebagai Scott, John Chu sebagai Sulu dan Anton Yelchin sebagai Chekov mempunyai detik-detik wira mereka sendiri.

Tidak kurang menarik adalah peserta baru Petter Weller sebagai Admiral Marcus.

Secara keseluruhannya Star Trek Into Darkness wajib ditonton oleh semua peminat yang meminati karya tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain