suria

Nilai Artistik Dalam 'Penanggal'

FILEM : Penanggal

PENGARAH : Ellie Suriaty

PELAKON : Ummi Nazeera, Azri Iskandar, Fasha Sandha, Zul Arifin, Normah Damanhuri, Datuk Sharifah Aini, Jeff Omar dan Kuswadinata

DURASI : 1 Jam 30 Minit

GENRE : Seram/ fiksyen

TERBITAN : Astro Shaw Sdn Bhd dan Primeworks Studios Sdn Bhd

TARIKH TAYANGAN : 28 November 2013

SEBAGAI pengarah yang pertama kali mengarahkan filem, Ellie Suriaty perlu dipuji kerana menghasilkan filem seram, Penanggal dengan sentuhan yang tersendiri, tidak seperti pengarah filem seram yang sedia ada.

Menggabungkan tiga budaya iaitu Melayu, Arab dan Jawa, dalam tiga kisah berbeza pada mulanya, Ellie menjadikan mitos hantu penanggal sebagai subjek utama dalam karya klasiknya itu.

Penanggal mengisahkan mengenai Murni (Ummi Nazeera) yang dibela oleh neneknya, Mak Ajeng (Normah Damanhuri) yang berketurunan Jawa selepas kematian orang tuanya akibat dimakan haiwan buas di hutan.

Mak Ajeng, yang mengamalkan ilmu hitam, terpaksa menyerahkan saka penanggal miliknya kepada Murni pada saat-saat kematiannya. Bagaimanapun, akibat diburu penduduk kampung, Murni terpaksa melarikan diri ke hutan.

Pertemuannya dengan Anom Merah (Nadia Mustafar) yang sarat mengandung, mengundang kemarahan orang kampung selepas mendapati ada tanda di leher Murni.

Hampir dibunuh penduduk kampung, Murni kemudian diselamatkan Syed Yusoff (Azri Iskandar).

Kematian Anom Merah ketika melahirkan anak, akibat diserang penanggal turut menimbulkan kemarahan si suami, Jiwa (Yus Waisar).

Filem ini tidaklah terlalu seram, namun nilai artistik pada Penanggal yang diketengahkan Ellie selain sinematografi Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamarudin 'mengikat' penonton untuk terus menikmati filem ini sehingga habis.

Dalam pada itu, barisan pelakon yang mantap dalam filem ini turut memberikan impak besar apabila masing-masing memberikan persembahan lakonan yang cukup berkesan, terutamanya Ummi yang berjaya menghidupkan watak Murni.

Penjiwaan Ummi membawakan watak Murni, gadis yang terpaksa mewarisi ilmu penanggal cukup memberi kesan lebih-lebih lagi emosi derita yang terpaksa ditanggung Murni disampaikan seolah-olah Ummi benar-benar bergelut diri untuk membebaskan diri daripada kuasa hitam.

Kerana keserasian dalam penjiwaan watak tersebut, pada pendapat penulis, tiada pelakon yang mampu membawakan watak tersebut selain Ummi.

Lakonan Azri sebagai Syed Yusof, si penyelamat Murni turut menzahirkan rasa senang hati penonton yang berharap agar Murni dapat diubah kepada seorang insan yang baik.

Sementara itu, Ellie juga bijak memainkan setiap peranan dalam filem tersebut dan pastinya lakonan Datuk Sharifah Aini memberi kelainan pada filem tersebut.

Walaupun hanya melakonkan untuk beberapa babak, namun, watak biduanita itu sebagai ibu kepada Syed Yusof menampakkan nilai komersial pada filem tersebut.

Secara keseluruhannya, walaupun terdapat sedikit kekurangan pada plot penceritaannya, Ellie dikira bertuah kerana mempunyai barisan pelakon yang cukup hebat di mana ia sudah cukup memberi nilai komersial pada Penanggal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain